Malaysia Dateline

Saya ada pengalaman pahit runding dengan pemimpin Umno, tidak akan lagi, kata Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pengalaman berunding dengan pemimpin Umno sebelum ini mengajar beliau agar tidak berunding lagi dengan pemimpin parti berkenaan.

Sebab itulah, katanya, dakwaan bahawa beliau berunding dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membentuk kerajaan dengan Umno selepas pilihan raya umum ini fitnah semata-mata.

“Dahulu ingat tak saya kata ada sokongan besar untuk saya jadi perdana menteri. Ketika itu 15 ahli Parlimen Umno termasuk Najib dan Zahid tanda tangan SD sokong saya jadi PM,” katanya.

Namun jumlahnya menjadi 13 sahaja apabila Pakatan Harapan menolak Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid hamidi untuk turut berada dalam senarai itu.

Namun, katanya, rancangan tersebut tidak menjadi kerana Najib meminta agar beliau tidak dikenakan hukuman penjara selepas beliau (Anwar) menjadi perdana menteri.

“Tetapi pada malam sebelum hari ke istana, Najib minta kepada saya supaya pastikan dia tidak ke penjara.

“Ini saya tidak boleh terima. Saya tidak boleh campur tangan dalam judiciary. Saya tolak,” kata Anwar memaklumkan kenapa beliau tidak jadi perdana menteri ketika itu.

Menurut Anwar, jika beliau setuju dengan syarat Najib beliau perlu menandatangani satu surat.

“Tak jadi sebab Najib kata, saya kena bagi pengakuan dia tidak masuk penjara.

“Saya tak jadi PM sebab saya tak setuju perkara itu… kalau saya bagi surat bagi kepada Najib… itu law off the jungle.

“Ini saya tak terima… saya tak sanggup,” kata Anwar dalam ceramah Jelajah Mega Harapan di Bukit Mertajam malam ini.

Anwar sebelum ini pernah mengadakan satu sidang media memaklumkan beliau bakal membentuk kerajaan baharu setelah mendapat sokongan yang cukup besar dari ahli parlimen.

Namun, rancangan itu tidak menjadi kenyataan dan Anwar didakwa menipu kerana sidang media itu.

Pada malam ini Anwar mendedahkan kenapa rancangan untuk beliau menjadi perdana menteri ketika itu tidak berjaya.

Menurut Anwar, dalam pilihan raya kali ini beliau yakin Pakatan Harapan boleh menang minima 112 kerusi untuk membentuk kerajaan 20 November ini.

“Tak payah kita runding dengan orang-orang ini… tolak pakat dengan Zahid sebab dah belajar.

“Insya Allah sekurang-kurangnya kita dapat 112 kerusi untuk membentuk kerajaan,” kata Anwar.

BACA JUGA Beri peluang kepada Anwar untuk jadi perdana menteri, pulihkan ekonomi negara JUGA Tiada kerjasama PH-BN lepas PRU15: Awak tu pakai serban jubah, jangan buat fitnah