Malaysia Dateline

Saya akan balik berkempen untuk Anwar di PD

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau terkilan kerana tidak dapat hadir pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 29 September ini kerana beliau akan masih berada di New Zealand dalam siri jelajahnya ke luar negara.

Bagaimanapun tegasnya, beliau akan balik ke Malaysia berkempen untuk Anwar bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) menang besar dalam PRK tersebut yang dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober nanti.

Kemenangan besar itu nanti adalah sebagai isyarat sokongan popular kepada Malaysia Baharu, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu,

Ujarnya, dalam lima bulan kebelakangan, kritikan dan ketidakpuasan hati timbul mengenai kerajaan baharu PH.

“Kita terima kritikan ini dan menyeru rakyat Malaysia supaya memiliki gambaran besar dan pandangan yang jauh.

“Ia kerana Malaysia Baharu yang kita inginkan sedang dalam pembinaan dan mememerlukan lebih daripada satu pilihan raya umum untuk dijelmakan kerana ia mungkin mengambil masa 10 hingga 20 tahun untuk selesai.

“Kita jangan termakan dengan pemikiran negati dan merosakkan bahawa inisiatif Malaysia Baharu akan gagal, dan konspirasi Umno-Pas bahawa kerajaan PH boleh ditumbangkan lebih awal daripada PRU15 dapat membuahkan hasil,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, dalam bulan-bulan dan tahun mendatang, perbezaan dan kontradiksi dalam PH akan muncul tetapi jika kita bersikap positif bahawa kita mahu PH menyempurnakan misi membina Malaysia Baharu berjaya, semua permasalahan ini dapat diatasi dalam konteks positif.