Malaysia Dateline

Saya akan kembali ke parlimen, mungkin Oktober ini, kata Anwar

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan dirinya akan kembali ke parlimen pada bulan Oktober ini sekiranya menang di dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan nanti.

Malahan perkara itu sudah diketahui bahawa beliau bakal menjadi anggota parlimen dan bersiap sedia untuk dilantik menjadi perdana menteri kelapan, tetapi belum ada masa yang sesuai untuk beliau ke arah itu.

Wawancara bersama Berita Harian, Anwar dengan jelas menyatakan pengosongan kerusi tertentu akan dibuat dan beliau akan bertanding di kawasan berkenaan bagaimanapun ianya belum diputuskan.

“Saya sudah jelaskan perkara ini secara peribadi dan umum yang saya akan kembali ke parlimen, insya-Allah jika menang (PRK) sebelum hujung tahun… mungkin Oktober,” katanya dipetik portal itu.

Setakat ini sudah ada beberapa anggota parlimen menyatakan kesediaan mereka berundur bagi memberi laluan buat Anwar, antaranya ialah Datuk Johari Abdul (Sungai Petani) dan William Leong (Selayang).

Anwar sedang mempertimbangkan satu kerusi yang ditawarkan kepadanya namun belum ada keputusan muktamad kerana dirasakan rugi untuk dilepaskan memandangkan tokoh di situ mempunyai prestasi yang baik.

“Saya ada pertimbangkan satu kerusi ini, beliau menawarkan kepada saya tetapi apabila dilihat prestasi, beliau seorang anggota parlimen yang sangat baik… saya rasa rugi pula. Jadi semuanya sedang dipertimbangkan,” katanya.

Pada masa sama Anwar menjelaskan kerusi yang ingin ditandinginya perlulah tempat yang selesa, sama ada untuk beliau atau pengundi di situ.

“Ini soal untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita perlukan keselesaan itu, seperti di Permatang Pauh kita rasa macam adik beradik, boleh melawak begitu dan begini dan saya sangat yakin dengan mereka begitu juga mereka (pengundi).

“Hendak mencapai tahap sebegitu tidak mudah kerana ia mengambil masa,” katanya.

Sementara itu Anwar berkata beliau tidak akan mengganggu Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir bagi membawa negara ke landasan yang betul.

“Sekarang Dr Mahathir ada tugas besar disebabkan semua masalah yang melanda negara. Saya mendoakan beliau berjaya,” katanya.