Malaysia Dateline

‘Saya amat terharu dengan pesanan Mufti Wilayah Persekutuan’

Ekoran nukilan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad kelmarin, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali meluahkan rasa terharu di saat beliau sedang menghadapi dakwaan isu video seks.

“Saya amat terharu dengan pesanan dan nasihat Mufti Wilayah Persekutuan untuk saya dan keluarga tatkala badai fitnah mengganas,” lontar beliau di Facebooknya.

Azmin juga turut memenuhi jemputan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sempena Majlis Jamuan Aidilfitri semalam.

Menurutnya, pertemuan itu sekali gus telah memperkukuhkan semangatnya untuk meneruskan khidmat demi umat dan negara.

“Tersentuh dengan kata-kata nasihat dan dukungan beliau untuk saya dan keluarga. Moga Allah SWT melindungi kita semua dari bahana fitnah,” ujarnya.

Kelmarin, Dr Zulkifli di Facebooknya telah meluangkan masa untuk membuat kajian dan menyiapkan 4 buah artikel Bayan Linnas berhubung isu video seks itu.

Dek kerana video seks itu, hati beliau amat gusar kerana terfikirkan 1001 masalah yang bakal mendatang kepada umat ketika ini.

“Kepada Datuk Seri Azmin Ali, Haziq Abdul Aziz, sesiapa sahaja yang berkaitan dan seluruh umat Islam di Malaysia, terimalah buah fikiran daripada saya, Zulkifli Mohamad al-Bakri, hamba-Nya yang Maha Mengetahui (al-‘Alim), Maha Melihat (al-Basir), Maha Mendengar (al-Muntaqim) dan Maha Adil (al-Adl).

“Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berhubung isu ini,” katanya.