“Saya angkat anak nak hempas dia ke dinding” – Azhar Sulaiman

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Azhar Sulaiman kembali mencuri tumpuan ramai setelah membuat pendedahan yang mengejutkan di laman media sosial miliknya, baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di laman TikTok, aktor berusia 52 tahun itu mendedahkan bahawa dirinya pernah mengalami kesukaran untuk mengawal perasaan amarah.

Tampil menceritakan dua insiden yang memberikan kesan sangat mendalam kepada kehidupannya, Azhar akui amarahnya itu hampir mencelakakan anak dan orang lain.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sewaktu usianya masih muda dan berpunca daripada tindakan melulu anak kelahiran Bentong, Pahang itu ketika sedang marah.

“Saya baru balik dari lokasi penggambaran pada pukul 5 pagi dan masa itu Kasih (anak sulong) baru lahir. Saya sampai rumah, tengok Cempaka (isteri) tengah tidur.

“Kasih masa itu tengah menangis dekat sebelah. Cempaka suruh saya buat susu untuk Kasih sedangkan saya penat balik kerja. Saya geram dengar Kasih menjerit.

“Saya angkat Kasih dan nak hempas dia dekat dinding. Tetapi, nasib baik saya tersentak dan beristighfar. Saya terus letak Kasih rasa badan menggeletar,” jelasnya.

Hasil perkongsian hidup Azhar bersama Cempaka iaitu anak pengasas bersama Air Asia, Datuk Pahamin Rajab, pasangan tersebut telah dikurniakan tiga cahaya mata.

Anak diceritakan Azhar di dalam perkongsian TikTok tersebut adalah cahaya mata sulongnya iaitu Kasih Leia Ixora yang kini sudah berusia 23 tahun.

Bertujuan untuk memberi peringatan, Azhar berharap orang ramai dapat mengambil pengajaran mengenai bahaya dikuasai perasaan amarah menerusi perkongsian itu.

Sementara itu, bintang filem Mira Edora itu turut berkongsi kejadian kedua di mana dirinya sekali lagi gagal mengawal amarah ketika Cempaka mengalami kemalangan.

Hal ini kerana, kemalangan dialami isterinya di sebuah pusat beli belah di ibu kota itu telah menyebabkan kenderaan yang baru dibaiki oleh Azhar mengalami kerosakan.

Azhar yang mesra disapa Behar itu kemudian memandu kenderaan tersebut keluar daripada rumah dengan cara agresif sehingga boleh membahayakan pemandu lain.

Oleh yang demikian, Azhar membuat keputusan untuk menggunakan platformnya sebagai artis popular bagi menyebar kesedaran pada pengikutnya dan orang ramai.

Bapa tiga anak itu menasihati para penonton video berkenaan agar tidak bertindak melulu dalam keadaan amarah kerana dibimbangi boleh mengakibatkan kematian.

Baca juga: Hafidz Roshdi buat netizen geram, selamba ‘throwback’ video berkepit dengan Athira dari zaman sekolah