Malaysia Dateline

‘Saya bagi sedikit sedekah, orang Sandakan bukan mengundi di Kimanis’

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal menjawab dakwaan yang tular di media sosial kononnya beliau memberi duit kepada jemaah masjid ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis.

Menurut Shafie lokasi sebenar bukannya di Kimanis tetapi di Sandakan selepas beliau merasmikan Lapangan Terbang Sandakaran pada 3 Januari lepas untuk menunaikan solat Jumaat.

“Saya semasa itu berada di Sandakan dan bersekali dengan Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan, setelah merasmikan Lapangan Terbang Sandakan lepas itu tidak sempat, saya menunaikan solat  di Sandakan.

“Bila menunaikan solat saya bagilah sedekah sikit kepada penduduk-penduduk kampung di situ kerana saya tahu mereka berhadapan dengan masalah, itu bukan di Kimanis itu di Sandakan.

“Jadi bukanlah tujuan kita bagi sedekah mahu mengundi, orang Sandakan bukan mengundi di Kimanis,” ujar Presiden Warisan itu di laman facebooknya.

Pada Jumaat Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke;Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; serta Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berada dalam Majlis Pecah Tanah Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan di Sandakan