Malaysia Dateline

Saya belum putuskan mengenai Waytha Moorthy, kata Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum memutuskan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy perlu meletak jawatan sebagaimana gesaan banyak pihak akibat kegagalan beliau mengendurkan ketegangan kaum berhubung rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Dr Mahathir berkata rakyat bebas untuk menyatakan pandangan mereka mengenai hal tersebut.

“(Tetapi) terpulang pada saya untuk memutuskan, saya belum putuskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad Institiut Pengurusan Malaysia (MIM) di Kuala Lumpur malam ini.

Ditanya sama ada beliau selesa dengan prestasi Waytha Moorthy sebagai menteri, Dr Mahathir berkata, “Saya rasa OK (dengan prestasinya).”

Waytha Moorthy adalah menteri bertanggungjawab bagi Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Media melaporkan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan memorandum kepada Dr Mahathir, yang juga pengerusinya, mendesak supaya Waytha Moorthy disingkirkan sebagai menteri.