‘Saya berbeza pendapat dikata biadap, saya minta maaf’

‘Saya berbeza pendapat dikata biadap, saya minta maaf’

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan pendiriannya tidak mahu memberi fokus mengenai kemelut dalaman parti itu apabila didakwa menjadi punca kepada peletakan jawatan bekas Naib Presiden Datuk Hamidah Osman.

“Saya tidak ingin panjangkan isu ini kerana pada masa ini fokus PPBM dan Pakatan Harapan adalah untuk membersihkan negara dari budaya rasuah, salah guna kuasa dan untuk membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup yang semakin teruk.

“Buat Datuk Hamidah, saya ucapkan ribuan terima kasih diatas sumbangan yang diberikan dalam PPBM terutamanya pada peringkat awal penubuhan parti.

“Memang betul saya berbeda pendapat dengan Datuk Hamidah berkenaan beberapa isu dalaman tapi jika disebabkan ini Datuk merasakan saya biadap, saya minta maaf,” ujarnya.

Hamidah hari ini dilaporkan meluahkan isi hatinya yang mendakwa punca beliau meletakkan jawatan kerana Syed Saddiq pernah menghalaunya keluar parti selain menuduhnya sebagai agen Umno.

Hamidah dipetik berkata,”“Selaku anak muda yang pangkatnya seperti anak saya tidak sepatutnya berkelakuan sedemikian.

“Sebagai seorang ibu, wanita dan orang Melayu yang kaya dengan adab, saya tidak sanggup melihat budaya itu diterapkan dalam Bersatu.

“Malangnya perbuatan tersebut seolah direstui kerana tiada sebarang langkah atau tindakan diambil dalam membendung budaya yang dibawa Saddiq itu,” katanya dalam satu rakaman video ekslusif yang diterima Sinar Harian lewat malam semalam.

Menurut Syed Saddiq lagi dalam kenyataan beliau hanya mempertahankan apa yang beliau rasa benar.

“Saya rasa ini merupakan tanggungjawab saya untuk mempertahankan Presiden dan Timbalan Presiden diatas tohmahan yang dilontarkan ke atas mereka.

“Apapun saya mengucapkan selamat maju jaya untuk masa hadapan Datuk dan semoga Datuk tidak lupa akan musuh utama negara iaitu rasuah dan salah guna kuasa yang menjerat rakyat dengan beban kos sara hidup yang tinggi.

“Teruskanlah berjuang kerana perjuangan ini belum selesai,” ujarnya membalas kenyataan dibuat oleh Hamidah.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Shahruddin Md Salleh mengumumkan peletakan jawatan Hamidah dan mengucapkan terima kasih atas sumbangannya kepada parti itu.

Pada hari yang sama, pengasas bersama Bersatu, Anina Saadudin juga keluar parti dan mendakwa Bersatu dikuasai oleh pemimpin yang tidak dapat menerima kritikan.