Saya bersara dari politik, tolak jadi mentor. Saya memberikan sokongan penuh kepada pimpinan DAP tetapi menolak cadangan CEC untuk menjadi mentor DAP
Semasa saya mengumumkan persaraan politik saya di Kongres DAP pada 20 Mac 2022, ia adalah satu persaraan daripada kepimpinan dan pemilihan dalam parti serta persaraan dari pilihan raya di peringkat parlimen dan juga negeri.
Seseorang itu tidak boleh untuk bersara sepenuhnya daripada politik, melainkan dia bersara sepenuhnya daripada kehidupan, kerana politik memberikan kesan kepada setiap aspek kehidupan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli CEC yang baharu dan juga Setiausaha Agung DAP Anthony Loke atas cadangan untuk menjadikan saya “mentor DAP”. Sebagai pekerja parti yang telah meluangkan 56 tahun hidup saya kepada perjuangan DAP untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dan melihat bagaimana DAP telah berubah daripada sebuah parti pembangkang yang kecil pada tahun 60-an kepada menjadi sebuah parti politik utama di Malaysia setengah abad kemudiannya, saya akan sentiasa ada untuk memberikan pandangan dan nasihat saya mengenai masa hadapan Malaysia dan hala tuju baharu DAP.
Tetapi, tidak ada keperluan untuk apa-apa kedudukan dan oleh itu, saya menolak cadangan CEC untuk menjadi mentor DAP. Saya telah memaklumkan Anthony Loke beberapa hari lebih awal mengenai keputusan saya ini – yang mana beliau akan menerima sokongan penuh saya terhadap pimpinannya sebagai Setiausaha Agung DAP yang keenam walaupun saya tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.
56 tahun yang lalu, semasa ada cadangan untuk saya terlibat dalam pembentukan DAP, saya tidak berfikir panjang mengenai cadangan ini.
Kami didorong oleh idealisme yang mahukan Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, memandangkan Malaysia mempunyai potensi dan kebolehan untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
DAP sentiasa merupakan sebuah parti Malaysia yang patriotik, yang digerakkan dengan Impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia. Kita tidak mempunyai Impian Melayu, Impian Cina, Impian India, Impian Kadazan, atau Impian Dayak, tetapi hanya satu Impian Malaysia.
Penting untuk dikaji, bagaimana sebuah gerakan politik yang komited terhadap kebajikan semua rakyat Malaysia, boleh dimomokkan selepas setengah abad sebagai sebuah parti yang kononnya anti-Melayu, anti-Islam, malah bersifat komunis.
Inilah kuasa propaganda negatif, berita palsu, dan fitnah, tetapi melainkan kita dapat mencari jawapan kepada tohmahan-tohmahan ini, Malaysia tidak akan mencapai potensinya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
DAP tidak pernah anti kepada mana-mana kaum atau agama kerana perkara ini bertentangan dengan kepercayaan asas kami bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk dengan kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya.
Dalam ucapan pertama saya di Parlimen, 51 tahun yang lalu pada 23 Februari 1971, saya telah menjemput kerajaan untuk menunjukkan satu bukti yang menunjukkan mana-mana ucapan atau kenyataan DAP yang menunjukkan DAP menentang usaha untuk meningkat taraf ekonomi kehidupan orang Melayu.
Saya katakan: “Kami mahu mencipta masyarakat Malaysia tanpa kelas yang berasaskan kepada setiakawan, kerjasama, dan khidmat, di mana tidak ada eksploitasi di antara sesama manusia, atau di antara kelas, atau kaum.
“Kami sokong apa-apa langkah yang membantu orang Melayu yang susah. Tetapi kami menentang keras penggunaan hak keistimewaan orang Melayu untuk mengayakan golongan kaya baru Melayu dengan menambah-nambah kekayaan mereka, sedangkan golongan marhaen dan miskin terus dieksploitasi.”
Saya menolak doktrin perkauman yang merosakkan yang telah menyamakan kesenjangan dan ketidakseimbangan ekonomi dengan garis perkauman di dalam negara, memberikan amaran mengenai kesan buruk yang akan timbul akibat cubaan untuk mengguna pakai teori dan penyelesaian masalah yang bersifat perkauman dengan melaga-lagakan satu kaum dengan kaum yang lain, kerana pemahaman yang semua yang senang adalah dalam kalangan bukan Melayu manakala semua yang susah adalah terdiri daripada orang Melayu adalah satu perkara yang amat salah.
Setengah abad kemudian, saya masih menunggu “satu bukti” yang menunjukkan DAP ini anti-Melayu, anti-Islam – dan paling utama sekali, kononnya DAP ini “komunis”!
Pada tahun 1973, saya telah mengumumkan yang kami sedang bersedia untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak selepas pilihan raya umum 1974 dan saya mengumumkan Ibrahim Singgeh, Ahli Dewan Undangan Negeri Tapah Road sebagai calon Mentri Besar Perak.
Kita telah melalui perjuangan yang amat sukar untuk kekal bertahan sebagai sebuah parti politik dan berubah, daripada sebuah parti pembangkang yang kecil kepada salah satu parti politik utama hari ini.
Dalam pilihan raya umum pertama yang ditandingi DAP pada tahun 1969, kita telah memenangi 13 kerusi parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Tetapi, langkah luar biasa telah diambil untuk memenuhi jangkaan seorang pemimpin Umno yang mengatakan “sebelah kaki DAP kini sudah berada di dalam kubur” dengan kombinasi ugutan dan korupsi politik. Hasilnya, empat daripada 13 orang Ahli Parlimen dan 11 daripada 31 orang ADUN DAP ini telah mengkhianati parti dan menjadi “katak politik”.
Kerana inilah, pada 21 Mac 1978, saya telah membawa usul persendirian di Parlimen untuk mengharamkan perbuatan melompat parti dengan memerlukan seseorang Ahli Parlimen untuk mengosongkan kerusinya dan memerlukan pilihan raya kecil diadakan, tetapi saya tidak sangkalah kita terpaksa menunggu sehingga setengah abad sebelum perkara ini menjadi undang-undang.
Perkara ini masih perlu dilakukan, tetapi ia menunjukkan kecekalan DAP untuk memastikan integriti politik para ahli parlimen, dan saya cenderung kepada pendirian bahawa perkara ini boleh dilakukan melalui pindaan Artikel 48 Perlembagaan yang menyentuh mengenai kehilangan kelayakan seseorang Ahli Parlimen.
Dalam tiga minggu yang lepas selepas saya mengumumkan persaraan politik saya, saya telah memikirkan mengenai perkara-perkara berikut:
- Mungkinkah untuk kita memperbetulkan kemunduran yang telah dihadapi negara dalam setengah abad yang lepas, di mana kita ditinggalkan di belakang negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Vietnam. Menjelang 2040 atau 2050, adakah kita akan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara, termasuklah Indonesia dan Filipina?
- Bolehkan kita tetapkan semula dasar-dasar negara yang dibuat dalam setengah abad yang lepas, misalnya Dasar Ekonomi Baharu, yang diniatkan untuk berlangsung selama 20 tahun tetapi telah berterusan selama setengah abad langsung mencipta satu kelas Umno-putra dan pada masa yang sama meninggalkan kebanyakan orang Melayu untuk terus kekal miskin?
- Bolehkah kita yakinkan rakyat Malaysia bahawa negara kita hanya mempunyai masa hadapan yang cerah sekiranya kita kembali kepada prinsip penubuhan negara dan Rukunegara – pemisahan kuasa, demokrasi berparlimen, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti, hormat terhadap hak asasi manusia, perpaduan, dan solidariti?
- Adakah Impian Malaysia untuk negara kita menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia ini satu impian yang mustahil untuk dicapai?
- Adakah akan terjadinya Diaspora Malaysia Kedua, di mana sebelum ini lebih daripada sejuta rakyat Malaysia yang berbakat tanpa mengira kelas, tersepah ke serata dunia membentuk Diaspora Malaysia Pertama, menjadikan negara lain yang hebat dan bukannya Malaysia.
Pandemik Covid-19 selama dua tahun ini telah melengahkan fenomena Diaspora Malaysia Kedua ini.
Kini terdapat petanda yang menunjukkan yang pandemik ini semakin hampir kepada penghujungnya, digantikan dengan fasa endemik. Hari ini, jumlah kes terkumpul di seluruh dunia telah melepasi paras 500 juta kes.
Untuk hari kedua selepas 5 Februari 2022 di bawah gelombang penularan Omicron, Malaysia mencatatkan kurang daripada 10,000 kes – 7,739 kes dengan 19 kematian akibat Covid-19. Sedangkan India, yang pada suatu masa mencatatkan 414,433 kes pada bulan Mei tahun lepas, mencatatkan hanya tiga angka kes Covid-19 semalam.
Dalam dunia pasca pandemik Covid-19, adakah kita akan menyaksikan fenomena Diaspora Malaysia Kedua, di mana rakyat Malaysia yang berbakat memilih untuk tinggal di luar negara dan bukannya di Malaysia untuk menjadikan negara kita sebuah negara hebat yang bertaraf dunia, menetapkan negara kita ke arah sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara yang gagal?
Bolehkah kita gantikan kekecewaan dan perasaan putus asa terhadap proses demokrasi yang timbul akibat Langkah Sheraton ini dengan harapan dan visi untuk sebuah Malaysia baharu sebagai sebuah negara hebat yang bertaraf dunia?
Saya tinggalkan persoalan dan cabaran ini kepada barisan pimpinan CEC yang baharu dan juga generasi baharu rakyat Malaysia.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio