Malaysia Dateline

Saya bersyukur, masih boleh berkempen untuk PRU14, kata Rafizi

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, beliau bersyukur dan lega walaupun mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman agak berat iaitu penjara selama 30 bulan ke atas beliau dalam kes dakwaan membocorkan maklumat kewangan National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan selepas sesi mahkamah membacakan hukuman tersebut selesai di Shah Alam.

Beliau berkata, memandangkan hukuman yang dikenakan adalah penjara selama 30 bulan, dan ia masih tertakluk kepada proses rayuan di mahkamah lebih tinggi, beliau tidak perlu dimasukkan ke dalam penjara hari ini.

Ia berbeza kata beliau, sekiranya hukuman penjara itu disertakan dengan denda yang berat, seperti yang dipohon oleh Pendakwaraya sebelum ini, katakan sebanyak RM1.5 juta atau setengah juta sekalipun.

Dalam keadaan seperti itu katanya, memandangkan beliau tidak akan mampu membayar denda tersebut, beliau pasti akan terus dimasukkan ke dalam penjara hari ini.

Dalam keadaan sekarang katanya, beliau masih ‘bebas’ sehingga keputusan rayuan dibuat oleh mahkamah yang lebih tinggi.

Merujuk kepada kes-kes beliau yang terdahulu kata beliau, pihaknya mempunyai keyakinan yang kuat keputusan akan memihak kepada beliau.

Melihatkan kepada pilihan raya umum ke-14 hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk diadakan, Rafizi berkata, beliau masih berpeluang berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) untuk PRU14 ini.

“Saya bebas untuk berkempen sehingga pilihan raya,” kata beliau.

Kata beliau, untuk setiap minggu beliau berkempen di sekurang-kurangnya 10 kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Jadi bayangkan sekiranya saya berada dalam penjara, katakan selama satu bulan, saya ketinggalan 40 kawasan Parlimen untuk berkempen dalam keadaan yang sangat meruncing ini,” kata beliau.

Menurut Rafizi, beliau tidak bertanding dalam PRU14 nanti disebabkan kes beliau sebelum ini.