Malaysia Dateline

Saya bertemu Ku Li untuk ramaikan kawan, kata Salahuddin

Pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah selepas Ahli Parlimen Gua Musang itu menghadap Yang Dipertuan Agong semalam bertujuan untuk ramaikan kawan, kata Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Ia misi saya dan AMANAH untuk ramaikan kawan,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline selepas tular gambar pertemuan dengan Ku Li semalam.

Salahuddin bertemu dengan Ku Li di kediaman beliau Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur kira-kira satu jam petang semalam.

“Adat bermain di lautan politik yang bergelora. Ada masa tenang ada ketika ribut taufan melanda,” tulis bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dalam facebook beliau yang mendapat lebih 3,500 like, 624 komen dan 242 perkongsian selepas 13 jam dikongsi beliau.

Sehari sebelum itu, Ku Li menghadap dan santap tengahari dengan Yang Dipertuan Agong selepas baginda bertemu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kunjungan Ku Li itu telah menerima pelbagai spekulasi apakah beliau bersama Anwar atau tidak dalam usaha pembentukan kerajaan baharu.

“Ia masih terbuka,” kata Salahuddin ketika ditanya ke mana Ku Li selepas ini.

Hari ini, tular pula gambar Ku Li bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar bawah) selepas beliau menyebarkan notis usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.