Malaysia Dateline

‘Saya berusia 95 tahun, kerap pergi Parlimen tidak dijangkiti Covid-19’

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan sidang Parlimen perlu diadakan segera kerana alasan bahawa ia berisiko kepada wakil rakyat dianggap tidak munasabah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini tiada rekod menunjukkan Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Parlimen dijangkiti virus Covid-19.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, dirinya sendiri bukti tidak dijangkiti pandemik berbahaya itu selepas menghadiri sidang Parlimen.

“Saya berusia 95 tahun dan kerap pergi Parlimen, tetapi tidak dapat sakit dan saya tidak dijangkiti wabak itu selepas menghadiri sidang (Parlimen).

“Bagi alasan (tangguh sidang Parlimen) kononnya ada orang tua dan sebagainya, ini bukan alasan munasabah untuk tidak mengadakan sidang Parlimen,” bidasnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Pusat Vaksin Kompleks Sukan Langkawi (KSL) hari ini.

Pada 3 Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, persidangan Parlimen bukan digantung tetapi ditangguhkan atas faktor perundangan, sains serta data pandemik Covid-19 ketika ini.

Katanya, kerajaan tidak mahu merisikokan Ahli Parlimen yang rata-ratanya boleh dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Menurutnya, daripada 220 ahli Parlimen, 77 daripadanya berusia 61 hingga 69 tahun, 19 berusia 70 hingga 79 tahun dan empat lagi berusia 80 tahun ke atas.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, rekod menunjukkan Ahli Parlimen dijangkiti dan dirawat akibat Covid-19 disebabkan pergerakan mereka ke tempat lain, bukannya menghadiri sidang Parlimen.

“Sebelum suntikan vaksin dibuat, kita sudah buat peraturan dalam Parlimen dan ia berkesan untuk mencegah daripada dijangkiti.

“Tiada masalah jika nak pasang penghadang plastik, malah jika diarah duduk jauh (antara satu sama lain) pun tidak mengapa, kita terima,” katanya lagi.