‘Saya boleh dikritik tetapi tidak boleh menerima fitnah’

‘Saya boleh dikritik tetapi tidak boleh menerima fitnah’
Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika berceramah di dataran Masjid Sungai Koyan malam tadi.-Foto Fb Mohamad Sabu.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menegaskan beliau boleh menerima kritikan tetapi tidak boleh menerima fitnah yang dilemparkan kepadanya dan kementerian yang diterajuinya.

Beliau menyangkal dakwaan yang dibuat oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib  Razak dan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Saya jelaskan mantan Perdana Menteri, DS Najib Razak berbohong dan tidak cermat fakta kerana menuduh saya datang ke penamaan calon PRK Cameron Highlands dengan helikopter sedangkan saya datang melalui jalan darat dengan kenderaan persendirian.

“Saya juga jawab tuduhan bekas Menteri Pertahanan DS Hishammuddin Hussain yang mengatakan kerajaan PH tidak buat apa-apa untuk kebaikan veteran tentera.

“Isu veteran ini bukan baru. Malah sejak zaman Hishammuddin lagi. Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang ditubuhkan tubuhkan pada tahun 2012, tidak pernah bermesyuarat langsung. Itu zaman Hishammuddin. Tahun 2018 MVK telah bermesyuarat utk kali pertama dan Kerajaan PH komited untuk terus menjaga kebajikan Veteran Tentera Malaysia.

“Melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran, kita meneruskan bantuan sedia ada dan telah merancang strategi terbaik untuk kesejahteraan veteran.

“Saya boleh menerima kritikan tetapi saya tidak boleh menerima fitnah!” ujarnya dalam catatan difacebook beliau.

Ketika beliau berkempen di Pasar Malam turut ditanya oleh media mengenai dakwaan kementeriannya seolah-olah mengabaikan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Kerajaan Persekutuan.

Mohamad berkata kebajikan golongan itu terus dijaga seperti mana di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, malah telah ditambah baik.

“Zaman menteri dulu enam tahun tak ada Majlis Veteran Tentera, baru (sekarang) saya gerakkan Majlis Veteran ini semula,” katanya kepada media dalam kempen calon PH M Manogaran di Sungai Koyan 1, semalam.

Beliau mengulas mengenai kenyataan dibuat oleh Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein antara lain mendakwa beliau tidak melihat sebarang perancangan diumum Kementerian Pertahanan berhubung kait pembelaan veteran tentera walaupun telah sembilan bulan PH mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Mohamad berkata semua hak-hak kebajikan veteran tentera yang diteruskan termasuk bantuan perubatan, bantuan persekolahan, bantuan hospital dan bantuan sara hidup.

.