Saya boleh kerjasama jika Chow jadi KM, kata timbalan KM P Pinang

Saya boleh kerjasama jika Chow jadi KM, kata timbalan KM P Pinang

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Rashid Hasnon berkata beliau boleh bekerja bersama Chow Kon Yeow jika pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri itu dilantik sebagai ketua menteri Pulau Pinang yang baru.

Rashid, yang juga Timbalan Pengerusi PKR negeri berkata beliau mengenali Chow sejak 1998, semasa kedua-dua mereka memulakan kerjaya dalam politik.

Baru-baru ini Chow dinamakan sebagai “pilihan sesuai” untuk menggantikan Lim Guan Eng sebagai ketua menteri sekiranya berlaku apa-apa ke atas Lim.

“Kami telah melalui banyak perkara bersama-sama, dan jika beliau dipilih sebagai ketua menteri, saya tiada masalah untuk bekerja dengannya,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada persidangan Maqasid Syariah di sini hari ini, lapor Free Malaysia Today hari ini.

Rashid berkata walaupun pilihan raya negeri tidak jadi diadakan, hubungan antara PKR dan DAP di negeri ini terus baik dan keputusan PKR untuk menolak cadangan DAP bagi diadakan pilihan raya negeri dibuat selepas beberapa mesyuarat oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti.

DAP membatalkan cadangan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) ekoran ia tidak mencapai kata sepakat dalam Pakatan Harapan.

Walaupun Amanah tidak mempunyai masalah dengan cadangan itu, PKR merasakan ia tidak mempunyai kewajaran untuk dibuat buat masa ini.