Malaysia Dateline

“Saya buat protes untuk mendemokrasikan kampus UM,” kata Wong Yan Ke

Graduan kontroversi dari Universiti Malaya (UM), Wong Yan Ke, menyifatkan protes yang dilakukannya pada Istiadat Konvokesyen UM kali Ke-59 pagi Isnin lalu, adalah untuk mendemokrasikan kampus berkenaan.

Beliau mendakwa, Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim tidak pernah peduli terhadap pelajar-pelajar dan juga ahli akademiknya.

“Beliau (Abdul Rahim) hanya menjadi boneka kepada ahli-ahli politik dan dia adalah orang yang menjejaskan nama baik universiti. Beliau adalah orang yang menyalahgunakan nama universiti untuk melaksanakan agenda politik beliau.

“Dulu, saya adalah aktivis mahasiswa dan kami telah protes pelbagai isu tentang kenaikan yuran, isu bas, dan juga mengenai rangkaian jalur lebar.

“Kita hantar surat temu janji, kita hantar memorandum kepada pejabat Naib Canselor. Walaupun kita telah hantar banyak surat & memorandum, mereka tidak pernah nak balas apa yang kita tuntutkan.

Wong Yan Ke ketika ditemui pemberita di Balai Polis Petaling, hari ini selepas memberi keterangan kepada pihak polis yang turut ditemani peguamnya, Ashiq Ali.

“Jadi, bagitahu saya di mana tempat yang betul untuk saya luahkan semua ini? Sedangkan Naib Canselor sendiri tidak mahu memberi maklum balas kepada pelajarnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Petaling, hari ini selepas memberi keterangan kepada pihak polis yang turut ditemani peguamnya, Ashiq Ali.

Dalam pada itu, Wong yang juga graduan Kejuruteraan Awam turut mempersoalkan tentang laporan polis yang telah dibuat oleh pihak pengurusan universiti itu pada semalam.

“Pernah ke kamu dengar sebuah universiti membuat laporan polis terhadap seorang mahasiswa?

“Ini (laporan polis) tidak pernah berlaku di Malaysia mahu pun di dunia. Dia (NC) adalah orang yang memalukan nama universiti, bukannya saya,” katanya.

Isnin lalu, video berdurasi 14 saat yang tular di media sosial menunjukkan pelajar terbabit melaungkan ‘ini tanah Malaysia’ sambil mengangkat plakad yang tertera perkataan ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol.