‘Saya bukan pemimpin gemilang seperti Annuar Musa tetapi…’

‘Saya bukan pemimpin gemilang seperti Annuar Musa tetapi…’

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bukan nama asing lagi di dalam arena bola sepak negara, namun Kafa menjadi buah mulut segenap pelosok negara bukan kerana prestasi kecemerlangan pemainnya tetapi kerana masalah kewangan yang menghimpit persatuan itu, menyebabkan hutang sekeliling pinggang.

Sebelum ini, dua tokoh ahli perniagaan wanita yang terkenal iaitu Datuk Seri Vida dan juga Bibi Ramjani berusaha untuk memulihkan kewangan Kafa, dan cuba sedaya upaya membayar hutang piutang namun usaha itu tidak berjaya menyelesaikan krisis kewangan persatuan itu.

Pada kali ini melalui Kongres Luar Biasa (AGM) bagi penggal 2019-2023 yang berlangsung 6 Julai lalu sebulat suara telah memilih Pengerusi Amanah Kelantan Wan Rahim Wan Abdullah bagi menerajui kepimpinan Kafa kali ini. Kafa melantik Alex Ong selaku bendahari, Hussein Deraman sebagai setiausaha agong dan Azman Ismail sebagai pengurus pasukan.

Bagaimana dan kenapa beliau atau lebih mesra dipanggil Cikgu Wan Rahim, 67, boleh terpanggil untuk mengepalai Kafa yang sudah menjadi ‘fobia’ kepada sesiapa yang menduduki kerusi presiden persatuan itu kerana hutang semakin ‘menggunung’. Ikuti temubual wartawan Nasuha Rahman yang menghubungi beliau sehari selepas dipilih sebagai Presiden Kafa.

Bagaimanana Cikgu boleh terpanggil untuk menerajui Kafa yang sudah sedia maklum sedang menghadapi masalah kewangan?

Puncanya, oleh kerana kedudukan bola sepak Kelantan sudah jauh ke bawah seolah-olah ke dalam gaung daripada menjadi pasukan yang dihormati pada masa Tan Sri Annuar Musa mengemudi dahulu sehingga Kelantan dapat memasuki piala pada satu musim. Akhirnya kini bola sepak Kelantan turun, turun dan terus turun hingga ke Liga Perdana.

Bola sepak Kelantan gelonsor sehinggakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menolak lagi tiga mata, bukan itu sahaja masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih masih tidak berjaya diselesaikan.

Jadi banyak pihak warga bola sepak di Kelantan tidak berpuas hati dengan kedudukan bola sepak Kelantan pada saat ini.

Ada pakatan daripada pihak ‘stake holders’ dalam Kafa iaitu 10 persatuan bola sepak jajahan yang bertanggungjawab untuk memilih kepimpinan Kafa. Jadi sebahagian besar daripada mereka tidak berpuas hati dan memberi tekanan kepada kepimpinan Kafa yang lalu iaitu untuk meletakkan jawatan.

Jadi, saya tidak menawarkan diri untuk memimpin Kafa sebab saya tahu kemampuan saya tidaklah tinggi sangat cuma apabila diajak oleh kawan-kawan untuk bersama dalam satu pakej untuk menyelamatkan bola sepak kelantan, maka saya terima kerana sebagai peminat dan berminat bola sejak daripada sekolah rendah lagi.

Jadi, saya di antara sedikit sahaja orang yang suka sejak sekolah rendah hinggalah di usia sekarang ini. Tidak pernah berhenti bermain. Penglibatan saya dalam bola sepak sebagai pemain dan juga memegang kelab.

Mungkin Cikgu boleh ceritakan sedikit sejarah di dalam Kafa sebelum ini.

Di dalam Kafa juga saya pernah terlibat sebagai ahli apabila dilantik oleh Datuk Ahmad Rustam pada tahun 1991 dan pada waktu itu apabila beliau sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan sekali gus beliau menjadi Presiden Kafa, apabila bertukar kerajaan saya dilantik menjadi Ahli Majlis Kafa waktu itu.

Apabila Datuk Wan Hashim Wan Daud mengambil alih kepimpinan Kafa atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, saya diberi peluang pula menjadi Naib Presiden Kafa. Jadi, saya terlibat dalam pentadbiran Kafa dan pada waktu itulah buat pertama kalinya musim semi-pro, Kelantan memperkenalkan konsep memberi peluang kepada syarikat untuk mengendalikan ‘team Kelantan’ iaitu semasa di bawah kepimpinan Datuk Zaid Ibrahim.

Dan kemudiannya pula disambung oleh Wan Zulkifli Wan Yusof yang pada waktu itu menubuhkan Kota Darul Naim Sdn Bhd kemudian menguruskan pasukan semi-pro Kelantan secara bersyarikat.

Walaupun, selepas saya meninggalkan Kafa tahun 1995, memang naluri kita bersama-sama The Red Warrior (TRW) dan zaman kegemilangan Anuar Musa itu masih membara.

Terfikirkah bahawa Cikgu seolah-olah menghulur leher sendiri untuk menanggung risiko besar di dalam Kafa?

Jadi apa yang berlaku kepada bola sepak Kelantan ditambah pula desakan kawan-kawan seolah-olah saya tidak ada pilihan.

Saya tidak tawarkan diri, malah saya tidak berkempen pun, satu ringgit pun saya tidak belanjakan untuk mendapatkan jawatan ini. Tidak. Ini adalah pengalaman peribadi saya, satu ringgit pun saya tidak keluarkan. Atas ajakan kawan-kawan dan desakan persatuan bola sepak jajahan saya menang pada hari itu.

Saya cakap saya bukan pemimpin gemilang seperti Anuar Musa tetapi saya adalah ‘team player’ maknanya saya akan memandu Kafa sebagai satu pasukan, tanggungjawab bersama.

Apabila AGM diadakan pada 6 julai…saya tidak hadir pun, berkempen pun tidak, sebab saya bukan perwakilan. Sehari selepas itu, Saya bersama kawan-kawan pada 7 Julai adakan mesyuarat dengan memanggil jawatankuasa Kafa membuat beberapa keputusan yang terpaksa disegerakan untuk mempastikan bahawa musim ini Kelantan dapat meneruskan dan cuba mempertahankan sehingga pada perlawanan baru-baru ini Kelantan berjaya kalahkan Selangor United dengan 2-0.

Dengan harapan sedikit demi sedikit secara berpasukan serta tanggungjawab bersama Ahli-ahli Majlis Kafa mempertahankan pasukan dan mula mendaki semula. ‘Target’ dan ‘banch mark’ kita adalah masa kegemilangan Tan Sri Annuar Musa.

Apa perancangan Cikgu untuk Kafa, yang memang bermasalah serta hutang sekeliling pinggang. Sehinggakan baru sehari dipilih sebagai Presiden Kafa sudah ada yang hendak ‘takir’ Cikgu. Apa komen Cikgu?

Ya, ya…Saya berpengalaman sewaktu di bawah kepimpinan Wan Hashim Wan Daud dahulu, kita sudah ada dua syarikat yang mengendalikan bola sepak kita iaitu Ringgit Kreatif di bawah Datuk Zaid Ibrahim dan KBSB di bawah Wan Zulkifli Wan Yusof.

Jadi kebetulan pula peraturan perlesenan FAM untuk tahun hadapan semua pasukan negeri ini mesti dikendalikan oleh syarikat bukan lagi persatuan. Kita akan bergerak ke arah memilih satu syarikat untuk menguruskan pasukan dan persatuan hanya tumpukan kepada pembangunan atau liga tempatan.

Syarikat ini yang telah pun saya jumpa dan sudah bersetuju untuk membawa satu pakej untuk mengendalikan pasukan seperti yang berlaku di England. Contohnya Vincent Tan beli pemain England Cardiff, apabila mereka beraksi di padang kita lihat di depan jersi-jersi pemain itu ada tertera ‘Visit Malaysia’.

Itu memberikan satu gambaran bahawa memang pasukan seperti Kelantan ini mempunyai potensi untuk membawa keuntungan kepada syarikat yang berani membuat pelaburan. Pakej seumpama inilah yang saya akan uruskan. Untuk ini kita akan adakan satu mesyuarakat dalam kalangan ahli majlis bagi membuat perjanjian antara Kafa dengan sebuah syarikat besar yang ada di Kuala Lumpur, dan syarikat besar itu sudah ada.

Apakah langkah pertama Cikgu untuk Kafa sebaik sahaja diberi mandat baharu ini?

Yang penting sekarang ini kita perlu bersetuju untuk pakej menyelesaikan hutang-hutang tunggakan pemain dan jurulatih yang begitu banyak. Di dalam mesyuarat kelmarin pun saya sudah dikemukakan laporan kewangan yang melibatkan hutang-hutang lama, kita akan adakan lagi mesyuarat selepas ini khusus untuk membincangkan perkara ini.

Kemenangan ini kita ambil secara baik dan mencari formula yang terbaik bagi menyelesaikan semua hutang-hutang termasuklah hutang dengan KWSP, pemain dan jurulatih,

Jadi begitu besarlah harapan rakyat Kelantan untuk Cikgu kembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan pada masa akan datang…

Saya memahami perasaan rakyat Kelantan. Saya dengan bola ini memang sudah lama. In Sha Allah kita akan cuba sedaya upaya kita untuk memulihkan kembali bola sepak Kelantan dengan sokongan padu oleh rakyat Kelantan.