Malaysia Dateline

Saya cadang tubuh Mageran bukan tukar kerajaan – Dr M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak menyentuh tentang usaha menukar kerajaan apabila mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

Sebaliknya beliau berkata, masalah yang dihadapi negara ketika ini lebih besar dari tahun 1969 yang memerlukan semua parti politik untuk menumpukan cara menangani masalah, berbanding memikirkan soal politik dan manifesto parti sendiri.

Baginya, pemimpin politik yang tidak mahukan Mageran ini kerana mereka tidak mahu ada sebuah badan yang boleh membelakangkan parti mereka.

“Kita tak cadang pertukaran kerajaan, tapi dalam empat perkara yang saya sebut sebelum ini, ia mesti ditangani oleh badan dinamakan Mageran atau Majlis Pemulihan Negara.

“Pemimpin politik tak nak ada badan yang mungkin membelakangkan parti mereka. Mereka nak berada dalam kerajaan dan dapat utarakan manifesto, sebab itu mereka tolak.

“Kita cadang agar soal politik dan manifesto ini tidak mengganggu pemikiran kita. Sebaliknya kita tumpu untuk mengatasi masalah Covid-19, ekonomi, kewangan, sosial dan masalah politik,” katanya dalam wawancara khas di Sinar hari ini

Sementara itu, mengulas dakwaan Ahli Parlimen Langkawi itu mahu berkuasa dengan cadangan penubuhan Mageran, Mahathir berkata dia hanya mahu berkhidmat menyumbang pengalamannya, dan bukan menjadi seorang ‘pembesar’.

“Saya sudah tangani pelbagai jenis masalah. Masalah kewangan, politik, serangan terhadap mata wang. Selama 22 tahun, saya dapat banyak pengalaman.

“Kalau nak tolak, tolaklah. Tak nak saya tak apa. Tapi saya sanggup walau sudah tua, saya nak berkhidmat lagi.

“Bukan nak suruh orang terima pendapat saya tapi nak beri pengalaman kita pada negara, bukan pasal nak jadi pembesar. Saya dah pernah pegang jawatan tertinggi, tak boleh pegang lebih dari itu. Cukuplah dua kali sahaja jadi Perdana Menteri,” katanya lagi.