“Saya cuba tapi gagal”, Mawar Rashid ucap selamat tinggal pada dunia ‘bertudung’

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama pelakon, Mawar Rashid kembali menjadi sebutan selepas membuat satu hantaran mengejutkan di laman Instagram miliknya awal pagi tadi.

Berkongsi dua keping gambar lalu dimuat naik di akaun Instagram, Mawar tampil memperlihatkan dirinya yang sudah tidak lagi mengenakan hijab di kepalanya.

Menerusi hantaran berkenaan, pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid itu mengenakan baju berona putih bersama gaya rambut ditata kemas.

Tulisan di ruangan kapsyen gambar tersebut pula hanya menyifatkan dirinya sudah berputus asa setelah berusaha sedaya upaya dan turut membuat permohonan maaf.

“Saya sudah mencuba tetapi saya gagal. Saya minta maaf,” tulis ibu kepada tiga cahaya mata itu yang menyahaktifkan ruangan komen pada postingan tersebut

Pelakon berusia 29 tahun itu turut membuat satu hantaran lain menerusi Instagram ‘story’ miliknya yang mengumumkan pengunduran dirinya buat sementara waktu.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memaklumkan bahawa dirinya ingin berehat seketika dan akan berjanji untuk kembali semula apabila sudah bersedia.

“Selamat tinggal dunia. Akan kembali apabila sudah bersedia dari segi mental. Sentiasa sayang korang.” Ujar Mawar yang juga pelakon kacukan Thailand itu.

Terdahulu, Mawar memaklumkan dirinya terbuka hati ingin menutup aurat sepenuhnya pada Ogos 2020 selepas mengikuti kelas pengajian agama di Kelantan.

Jelas Mawar, dia sudah lama menyimpan hasrat mengenakan hijab namun memilih untuk menangguhkan niat baik itu dahulu kerana hatinya yang berbolak balik.

Namun Mawar sedar bahawa tanggungjawabnya sebagai umat Islam bukan sahaja perlu sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikurniakan Ilahi.

Mawar menerusi satu laporan Mstar berpendapat bahawa dirinya sebagai wanita Muslim perlu melakukan perkara yang telah diwajibkan terhadapnya iaitu menutup aurat.

Baca juga: Siapa penyanyi era 90an yang tak bayar sewa rumah dan bil tertunggak hingga RM10k? Ada dua hint pasal selebriti ini