Malaysia Dateline

Saya dan Anwar Ibrahim II

Minggu lepas saya telah menulis tentang bagaimana saya mula berkenalan dengan Anwar Ibrahim. Secara keseluruhannya hubungan saya dengan Anwar bergantung kepada masa, ada naik ada turun. Minggu ini kita sambung kembali kisah ini.

Selepas Anwar menyertai Umno, Pas khasnya kami para pendokong parti itu di Universiti Malaya mula menggerakkan gerakan sendiri di kampus itu. Kami beranggapan Pas tidak boleh lagi menyerahkan mandat kepada Abim untuk mewakili parti atau jamaah itu di kampus.

Kalau selama ini pemimpim Abim yang menjadi naqib usrah, kini kami mula cari pemimpin Pas. Padahal ketika itu, tidak ramai ustaz-ustaz Pas yang boleh menjadi naqib usrah yang baik. Biasanya ustaz Abim yang lebih terlatih. Namun ketika itu, ustaz Abim sudah dianggap tidak jelas dan kami menolaknya.

Ini kerana, kami anggap Abim sudah menjadi sayap Umno selepas Anwar menyertai Umno. Abim ketika itu juga berpecah dua. Ada yang menyokong Anwar dan ada yang lari terus ke dalam Pas. Sehingga mereka jelas menyokong yang mana, kesemua ustaz Abim ditolak.

Di Terengganu, Abdul Hadi Awang yang memimpin Abim ketika itu telah jelas menyertai Pas. Begitu juga pemimpin Abim yang lain. Ramai yang berbuat demikian.

Sejak dari itulah, aktivis Pas mula menggerakkan jentera mereka sendiri secara aktif di kampus khasnya UM. Usrah sendiri, tamrin sendiri dengan membawa ustaz-ustaz dari Akademi Islam UM yang asalnya dari kampus Nilam Puri, Kelantan itu.

Rumah sewa aktivis Islam UM, Concita di Petaling Jaya, yang selama ini menjadi pusat aktiviti Abim dalam merekrut pelajar juga berpecah. Hari-hari berlaku pendebatan antara mereka yang pro Anwar dan Pro Pas.

Saya masih ingat lagi, Saifuddin Abdullah (kini Menteri Komunikasi dan Multimedia) menjadi orang yang awal menyokong Anwar. Ketika itu Saifuddin adalah Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), sebuah persatuan pelajar yang berpengaruh di kampus UM.

Di PBMUM, aktivis Pas menyokong Setiausaha Agungnya, Ahmad Shaari. Husam Musa juga pemimpin kanan PBMUM ketika itu.

(Ketika itu Husam tidak berapa menonjol sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk bersama dan menggerakkan Pas. Beliau mengambil tindakan dengan tidak pergi mengambil sebahagian peperiksaan akhir untuk membolehkan beliau bebas tanpa diikat oleh JPA. Selepas tamat belajar beliau menyerahkan diri kepada Pas sepenuhnya dan aktif menggerakkan Pas khasnya di Kelantan).

Tokoh-tokoh yang dilahirkan dari kampus Universiti Malaya selepas Anwar menyertai Umno pada tahun 1982. Dari kiri Ahmad Shabery Cheek, Husam Musa, Takyuddin Hassan, Muhammad Husain dan Saifuddin Abdullah.

Di peringkat kampus pula, perpecahan juga berlaku antara penyokong Anwar dan penyokong Pas. Mereka yang menyokong Anwar dilebelkan sebagai golongan tidak jelas. Saifuddin adalah antara yang dilebelkan sebagai tidak jelas.

Di kampus ada seorang lagi tokoh mahasiswa ketika itu, Ahmad Shabery Cheek (bekas Menteri Komunikasi kerajaan BN). Beliau dilihat tidak sangat menyokong Anwar ketika itu.

Bagi menyekat pengaruh Abim, kami penyokong Pas kemudiannya menyokong Shabery Cheek dalam kempennya untuk menjadi anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Terbukti, akhirnya gerakan itu berjaya menjadikan Shabery sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya PMUM) melalui kerjasama dengan aktivis Cina dan India. Melalui persatuan induk inilah kempen melebarkan pengaruh Pas di kampus UM dibuat.

Selepas tamat tempohnya sebagai Presiden PMUM, kami angkat pula Shabery sebagai Presiden PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam UM). PMIUM adalah pangkalan utama aktivis Islam di UM ketika itu. Jamaah Pas, Abim, IRC atau JIM, Al Arqam dan lain-lain akan cuba mengawal PMIUM kerana mengawal persatuan ini bermakna mengawal segala aktiviti Islam di kampus. Dengan tindakan inilah PMIUM menjadi tapak aktiviti Pas di kampus UM sampai sekarang.

(Selepas tamat belajar, Shabery pulang ke Terengganu dan menyertai Pas. Namun beliau kecewa dengan kepimpinan Pas di Terengganu dan lari menjadi pensyarah UM dan seterusnya bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan kemudiannya Umno)

Di peringkat parti pula, dengan menggunakan segala alat yang dikawal, kami berjaya membawa masuk pemimpin Pas ke dalam kampus. Ketua Pemua Pas ketika itu, Mustafa Ali adalah antara tokoh yang berjaya di bawa masuk ke kampus.

Beliau dibawa ke kampus melalui Debat Agung Ekonomi, program politik utama di kampus yang boleh membawa tokoh-tokoh politik dari luar ke dalam kampus bagi membicarakan isu ekonomi negara termasuk politik. Ekonomi sentiasa menjadi isu utama dalam politik ketika.

Bagi memberikan keseimbangan, tokoh Umno juga di bawa di samping seorang lagi tokoh ekonomi atau pensyarah UM sendiri. Biasanya tokoh masa depan pelajar UM akan dijadikan sebagai moderator atau pengerusi debat ini.

Namun, pemimpin Umno sentiasa takut untuk masuk ke kampus UM dari dulu sehingga sekarang. Maka Ikhwan Nasir, seorang pemimpin biasa Umno yang sentiasa menjadi wakil Umno dalam mana-mana program di kampus UM.

Hasilnya, Umno sentiasa menjadi mangsa dalam mana-mana debat di kampus UM. Kalau tokoh Umno berani menyertai program di kampus sekalipun, mereka akan diserang oleh pelajar kerana UM adalah tapak politik yang subur.

Aktivis mahasiswa yang dianggap pro Umno akan dilebelkan sebagai budak suruhan HEP atau pentadbiran UM. Mereka sentiasa tidak mendapat tempat dalam persatuan utama pelajar melainkan persatuan-persatuan kecil peringkat fakulti dan asrama sahaja.

Penyertaan Anwar ke dalam Umno bagi saya memberikan kesan besar kepada perkembangan politik Pas jangka panjang. Dari peristiwa itu, Pas mula menguasai kampus seluruh negara sehinggalah sekarang.

Ia melahirkan tokoh-tokoh besar ke dalam politik tanah air. Selain tokoh yang saya sebut di atas, Takiyudin Hassan (Menteri Undang-undang kerajaan PN), Muhamad Husain (Pengerusi PH Kelantan), Che Johan Che Pa (kini pemimpin Umno Kelantan), Profesor Zulkifli Yusof (orang kuat UM sekarang) dan ramai lagi dilahirkan oleh peristiwa ini.

Namun harga yang mahal perlu dibayar untuk mencapainya… antaranya saya dan kawan-kawan (huwaaaa).

BERSAMBUNG…

BAHAGIANN 1: Saya dan Anwar IbrahimĀ