Malaysia Dateline

Saya dan Anwar Ibrahim III: Reformasi

Dalam dua siri yang lepas saya telah mencerita bagaimana saya mula berkenalan dengan Anwar Ibrahim dan seterusnya kesan tindakan beliau menyertai Umno pada tahun 1982 kepada perjuangan Pas, musuh tradisi Umno.

Selepas tamat belajar saya telah menyertai Harakah sebagai pemberita. Ia berlaku apabila saya menyertai satu kursus kewartawanan segera selama seminggu di bawah penyeliaan tok guru saya, Haji Subky Latif. Ia dilakukan apabila Harakah mendapat permitnya pada tahun 1987.

Sebaik sahaja tamat kursus, saya ditawarkan untuk menjadi wartawan tetap Harakah walaupun bidang yang saya pelajari bukan kewartawanan atau penulisan.

Selepas 10 tahun menjadi wartawan, saya telah dilantik menjadi Pengarang Kumpulan Harakah (jawatan tertinggi dalam kewartawan di Harakah pada waktu itu) pada tahun 1997. Ketika itulah juga era pra Reformasi sedang melanda negara.

Menjelang reformasi, ada satu peristiwa penting berlaku kepada negara iaitu pilihan raya kecil Arau. Ketika itu, riak-riak pertembungan antara Dr Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri dengan timbalannya Anwar Ibrahim mula kelihatan.

Menjelang pilihan raya kecil Arau yang berlangsung pada 4 Julai 1998, Ketua Pemuda Umno ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi sudah mula menyerang Perdana Menteri Mahathir dengan membawa isu KKN (Korupsi. Kolusi dan Nepotisme). Ekoran perpecahan dalam Umno, calon Pas Hashim Jasin menang dalam PRK itu menewaskan calon Umno.

Dalam pilihan raya inilah Harakah mula mengorak langkah dengan baik untuk menjadi akhbar yang popular. Dari cetakan sekitar 40,000 hingga 50,000 naskah setiap keluaran, cetakan Harakah melonjak kepada 76,000 setiap keluaran, satu pencapaian yang tidak pernah dirasai oleh Harakah sebelum itu.

Selepas PRK Arau, hubungan antara Anwar dan Mahathir semakin panas. Akhirnya pada 2 September 1998, Anwar dipecat dari Umno.

Pemecatan Anwar telah memulakan era Reformasi. Demontrasi diadakan saban hari. Saya menyertai Ustaz Fadzil Mohd Nor ke rumah Anwar di Bukit Damansara beberapa hari sebelum beliau ditangkap.

Ketika singgah untuk makan di Restoran Haslam selepas itu, seorang pemimpin muda Pas menegur saya kerana bersekongkol bersama Ustaz Fadzil ke rumah Anwar. Beliau antara yang tidak bersetuju dengan tindakan Ustaz Fadzil itu kerana Anwar adalah Umno dan musuh Pas.

Saya menjawab, sampai bila saya nak jadi ketua pengarang kepada akhbar kecil macam Harakah ini. Saya nak juga rasa jadi ketua pengarang kepada akhbar besar.

Terbukti selepas tindakan itu, Ustaz Fadzil telah diiktiraf sebagai Pengerusi Gerak, satu badan yang ditubuhkan oleh semua parti politik pembangkang dan NGO untuk menggerakkan reformasi negara dan membantah tindakan penghinaan kepada Anwar Ibrahim dan keluarga oleh kerajaan Mahathir pada waktu itu.

Bersama itulah juga Harakah berkembang dengan pesat. Ini kerana hanya Harakah sahaja media yang memberikan gambaran sebenar tentang gerakan reformasi. Ketika TV3 memberikan gambaran Anwar bercakap dengan ‘hantu’ di atas pentas kerana tidak ditunjukkan orang di sekelilingnya, Harakah menyiarkan gambar wide angle setiap ceramah Anwar yang penuh dengan penonton yang menyokongnya.

Dalam masa yang sama juga, Harakah mendapat bantuan terbaik dari kartunis Zunar yang menyertai team Harakah. Selain melukis kartun tentang reformasi, Zunar juga berjaya membawa keluar surat-surat Anwar dari penjara selepas dia dimasukkan ke dalam penjara Sungai Buluh.

Tulisan Anwar itu pula datang bukan atas kertas biasa. Ada yang ditulis di atas kertas tisu tandas sahaja. Namun  mesej yang disampaikan Anwar menghidupkan perjuangan reformasi yang beliau bawa walaupun beliau berada dalam penjara.

Melalui Harakah jugalah kami berjaya memberikan imej “Puteri Reformasi” kepada Nurul Izzah Anwar. Sebagai anak sulung Anwar, Izzah menjadi jurucakap keluarga beliau.

Melalui Zunar, kami bawa Izzah ke dalam perlbagai program. Apabila saya menganjurkan pertandingan melukis kartun di kalangan pejajar pra sekolah khasnya Pasti, Nurul Izzah yang kami bawa untuk merasmikan majlis itu. Ketika itulah buat pertama kali Izzah di bawa ke sebuah pasaraya kerana majlis pertandingan itu diadakan di sebuah pasaraya.

Harakah adalah akhbar yang paling mendapat manafaat besar apabila bersama-sama dengan arus reformasi yang dibawa Anwar. Setiap kali berita mengenai Anwar kami laporkan, jualan Harakah akan melonjak naik sehingga tidak cukup di pasaran.

Ia terbukti apabila audit kami lakukan kepada jualan Harakah. Kami mengkaji, apakah berita yang digemari oleh pembaca. Kami dapati setiap kali berita dan gambar aktiviti reformasi kami laporkan di muka depan, Harakah akan habis di pasaran.

Ia berbeza sekali jika hanya berita berupa kenyataan pemimpin Pas yang kami laporkan di muka depan. Akan adalah akhbar yang akan dipulangkan oleh pengedar kerana tidak habis dijual.

Kesah pengedar Harakah yang berebut kawasan edaran juga masih terbayang-bayang di kepala saya sehingga kini. Ada satu hari itu ketika Harakah siap dicetak, kami dapati berlaku kekecohan di depan pejabat Harakah.

Rupanya ada dua pengedar wanita yang bergaduh kerana masing-masing mendakwa kawasan pengedaran mereka telah diceroboh oleh pengedar lain. Bergaduh bukan menggunakan mulut sahaja tetapi sampai tarik tudung dan rambut kerana berebut kawasan edaran Harakah ini.

Kemuncak kepada edaran Harakah adalah pada pilihan raya umum tahun 1999. Harakah telah dicetak sebanyak hampir 400,000 setiap keluaran menjelang hari pilihan raya tahun itu. Semuanya kerana laporan tentang Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi yang beliau bawa.

Pas telah mendapat manafaat besar darinya. Selepas PRU 1999, Pas telah berjaya membentuk dua kerajaan negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. Ustaz Fadzil telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Saya sendiri juga mendapat manafaatnya apabila dilantik sebagai Ketua Pengarang pertama Harakah di kalangan kakitangan pada tahun 2000 kerana sebelum itu semuanya orang politik. Antaranya Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Hassan Shukri dan akhir sekali Mustafa Ali.

Harakah pula telah berjaya membeli dua bangunan empat tingkat. Sebelum itu, Harakah telah berjaya memiliki bangunan yang asalnya milik Pas dengan mengambil alih syarikat yang memiliki bangunan itu dari Pas.

Apabila orang bertanya, dari mana Harakah mendapat duit, saya kata Anwar Ibrahim yang bagi. Ini kerana kecoh sebelum itu Anwar mempunyai master akaun yang di dalamnya terdapat wang puluhan juta ringgit.

BERSAMBUNG…


TULISAN BERKAITAN

Saya dan Anwar Ibrahim…

Saya dan Anwar Ibrahim II