Malaysia Dateline

Saya dan Dr Mahathir ada persefahaman utuh dalam isu peralihan kuasa, kata Anwar

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat, Perdana Menteri tidak perlu memberi tahu semua perkara berhubung soal peralihan kuasa antara mereka.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, isu peralihan kuasa memadai dengan hanya persefahaman antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sahaja.

“Kamu (media) tidak boleh meminta seorang penyandang Perdana Menteri untuk memberitahu pelbagai hal dalam soal peralihan kuasa.

“Memadai kita ulang kenyataan dan persefahaman yang beliau bincang terus dengan saya setiap minggu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Lembah Pantai, di Kompleks Sukan Pantai Eco Park, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR.

Dalam perkembangan sama, Anwar menyifatkan isu peralihan kuasa antara beliau dan Dr Mahathir dianggap selesai.

“Saya dan Dr Mahathir memiliki persefahaman yang utuh berhubung isu peralihan kuasa itu.

“Saya dengar seluruh kenyataan Tun Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri beliau bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara, tetapi soal peralihan kuasa dan perjanjian melepaskan jawatan itu sangat tegas.

“Saya berpuas hati dengan beberapa pertemuan antara saya dan Dr Mahathir dan soal peralihan kuasa ini selesai,” katanya lagi.

Semalam, media tempatan melaporkan Dr Mahathir bertekad tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan, apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri apabila tiba masanya nanti.

Pemimpin berumur 93 tahun itu berkata, memang menjadi hasratnya untuk terus bekerja keras buat negara dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Pengerusi Bersatu itu berkata, akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan tampuk kepemimpinan negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.