Malaysia Dateline

‘Saya dapat mandat untuk tidak lanjut masa atau tambah hari persidangan’

Parlimen tidak akan melanjutkan masa persidangan mahupun menambah jumlah hari seperti yang dimohon blok pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, beliau mendapat mandat dari Ketua Majlis untuk tidak melanjutkan masa melebihi 5.45 petang atau meneruskan sidang yang sepatutnya berakhir Isnin depan.

“Adapun proviso kepada 12 (1) iaitu kuasa menteri berdasarkan pandangan pakar, ini bukan pandangan politik.

“Saya sahkan saya mendapat mandat dari ketua majlis untuk tidak melanjutkan masa ini dari 5.30 atau 5.45 atau lanjutkan hari persidangan,” katanya menjawab desakan blok pembangkang untuk penambahan hari persidangan.

Pagi ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Port Dickson – PH) mengutarakan permohonan agar persidangan Parlimen dipanjangkan berbanding lima hari.

Menurutnya, ramai Ahli Parlimen yang masih tidak dapat berbahas terutama isu berkaitan pendidikan, dan kesihatan.

Hari ini merupakan hari keempat Mesyuarat Khas Parlimen dan dijadualkan berakhir pada Isnin depan.