Malaysia Dateline

“Saya dapat tahu lambat apa yang berlaku,”Tajuddin beritahu sebab tidak turun malam tadi

Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menjelaskan mengapa beliau tidak turun malam tadi sejurus selepas berlaku kamalangan dua kereta api Transit Aliran Ringan (LRT).

“Saya pun dapat tahu lambat apa yang berlaku, lambat saya dapat tahu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bahkan katanya petang semalam beliau baru habis menyelesaikan satu tugasan syarikat tambahan pula beliau sedang dalam persiapan untuk vaksin dos kedua hari ini.

“Pada masa itu saya sudah bersedia untuk vaksinasi dos kedua hari ini, awak tahu?” soal beliau kepada media yang menanyakan ketidakhadiran beliau di lokasi kejadian malam tadi.

Bagaimanapun Tajuddin menegaskan beliau mengambil berat terhadap insiden yang berlaku dengan turun padang di awal pagi ini.

“Walau macam mana pun bila saya dapat tahu, saya first thing in the morning.

“Tahu first thing in the morning? Reti cakap orang putih? How surious I am about this matter.

“Jadi pagi-pagi I dah turun, tengok masuk dalam terowong apa semua, janganlah main…orang kata cuba nak provok-provok is not good.

“Ni suka provok-provok semalam menteri dah turun, apa gunanya,” bidas beliau.

Nahas melibatkan dua kereta api Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara berlaku antara stesen Kampung Baru dan KLCC malam tadi. Dua tren LRT itu dipercayai berada di laluan sama.

Insiden itu telah menyebabkan seramai 47 penumpang cedera parah manakala ratusan lagi cedera ringan.