Malaysia Dateline

Saya dihalau dari mesyuarat Majlis Fatwa kerana kata mangsa Memali syahid – Ahmad Awang

Tun dah minta maaf, maka sewajarnya dia dimaafkan, kata Ahmad Awang.

Penasihat AMANAH, Ustaz Ahmad Awang berkata, beliau pernah dihalau dari mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan kerana memberikan pandangan bahawa mangsa Memali adalah syahid.

“Saya dihalau dari Majlis Fatwa kerana kata mangsa Memali syahid,” kata Ahmad Awang yang pernah menjadi Pengarah Institut Dakwah Islamiyah (Indah), nama asal kepada Pusat Islam dan kini Jakim.

Menurut Ahmad, “satu-satunya ahli yang menentang keputusan Majlis Fatwa itu adalah saya (yang hadir mesyuarat Majlis Fatwa sebagai ex-officio).

“Akibatnya saya diusir daripada sidang mesyuarat itu (1986) dan dilarang terus daripada menghadiri mesyuarat Majlis itu hingga saya bersara pada tahun 1991,” katanya.

Bagi beliau, apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir bahawa korban Memali tidak syahid ada asasnya tetapi berkata korban itu mati katak memang tidak wajar.

“Tun kata korban Memali tu tak mati shahid kerana ikut yang Tun faham peristiwa itu berbangkit daripada amanat Haji Hadi yang mengkafirkan Umno.

“Lagi pun ikut fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (dengan 14 mufti dan 5 ahli lagi) telah memutuskan bahawa korban Memali itu hukumnya tidak mati shahid kerana mereka di anggap sebagai bughah (penderhaka).

“Yang masih hidup jadi mufti adalah mufti Perak Tan Sri Haji Harussani Zakaria. Sila confirmkan daripada beliau,” katanya.

Ustaz Ahmad Awang menyokong bahawa Tun Mahathir tidak wajar dan terkasar apabila mendakwa korban Memali adalah ‘mati katak’

“Tun telah agak terkasar bila beliau mengatakan korban Memali itu tidak syahid dan ‘mati katak’.

“Tun M sudah mengaku terkasar bahasa dan minta maaf kepada keluarga yang terkorban dalam peristiwa Memali. Nampak ikhlas sungguh-sungguh.

“Maka wajarlah beliau memohon MAAF dan yang berkenaan patutlah memaafkan Tun Mahathir. Itu lah yang diajarkan Rasul kepada ummatnya,” kata Ahmad, bekas naib presiden Pas itu.

Bekas pengarah Institut Dakwah Negara (Indah) itu menyatakan, korban Memali adalah mati syahid, namun tidak persetujui oleh para mufti.

“Kalau ada yang marah Tun kata korban Memali tak mati syahid saya cadangkan minta Majlis Fatwa Kebangsaan kaji semula fatwa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad, beliau sendiri telah sampaikan nasihat supaya Tun Mahathir jangan sentuh hal hukum hakam Islam (melalui Presiden).

“Mungkin Tun terkadang terdesak bila di provok Ustaz Haji Hadi yang tak habis-habis menyerang peribadi Tun.
“Jadi kita pun boleh faham situasi beliau seperti itu. Apa pun kita doakan agar Tun M sentiasa diberi Allah hidayahNya,” kata Ahmad.