Saya direman atas arahan polis, pejabat perdana menteri, kata Zaharin

Penulis blog Datuk Zaharin Mohd Yasin mendakwa ditahan reman lima hari berikutan arahan polis dan pejabat perdana menteri.

Saya direman atas arahan polis, pejabat perdana menteri, kata Zaharin

Penulis blog Datuk Zaharin Mohd Yasin mendakwa ditahan reman lima hari berikutan arahan polis dan pejabat perdana menteri.

Beliau berkata, tangkapan yang dilakukan polis pada 26 Februari lalu tiada kena mengena dengan aduan awam.

“Dalam kes saya itu, saya tengok aduan bukan dibuat oleh orang awam tetapi dibuat oleh polis dan atas ‘arahan pejabat perdana menteri’, ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline pada Khamis.

Beliau sepatutnya ditahan reman sehingga Jumaat tetapi dibebaskan lebih awal pada tengahari semalam.

Ditanya bagaimana beliau tahu salah satu dakwaan dikenakan ke atasnya itu bersangkut paut dengan arahan pejabat perdana menteri?

Beliau berkata:”Saya tanya polislah, dia kata ada arahan pihak atasan. Satu saya ni memburukkan pihak polis, dan satu lagi tulisan di blog saya memburukkan imej pemimpin negara.

“Antara soalan polis, dia tanya saya,”adakah kamu memburukkan nama perdana menteri?”

“Saya jawab ‘tidak’ kerana saya kata, Najib itu kawan saya juga,” ujar beliau.

Zaharin dipercayai telah memuatnaik tulisan di dalam blognya dengan tajuk: Najib Razak atau PMO pergi belajar dengan Presiden Jokowi.

Tambah Zaharin lagi, penangkapan yang dikenakan ke atas beliau ini jelas menunjukkan hari ini seorang pemimpin negara dakwanya, tidak boleh ditegur.

“Jadi sekarang benarlah bahawa pemimpin negara kita tidak boleh dikecam atau ditegur waima dalam media sosial menjadi salah satu kesalahan di bawah akta MCMC.

“Saya dikatakan mengeluarkan kenyataan yang jelik dan fitnah,

“Seorang perdana menteri bukan ada kekebalan dari segi undang-undang hingga tidak boleh ditegur sesiapa,” ujarnya.

Bagaimanapun Zaharin berkata reman yang dikenakan ke atasnya, sedikitpun tidak melemahkan semangatnya untuk terus menulis berkaitan kepincangan  berlaku dalam  politik dan masyarakat.

Pada 26 Februari lalu Zaharin dan dua lagi lelaki disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dipetik Bernama berkata, tahanan reman dibuat berikuta kenyataan jelik dan fitnah terhadap kes kemalangan maut yang melibatkan lapan remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam pada 18 Februari lalu, menerusi satu kenyataan di Facebook.

Zaharin,64, ditahan di rumahnya di Villa Taman Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada Ahad lalu dan dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Johor Baharu Utara.

Zaharin memberitahu beliau ditahan reman selama lima hari di dua lokap berasingan di Johor Bharu Utara dan Johor Bharu Selatan.
.
Sejurus selepas beliau dibebaskan atas jaminan polis, jam 3 petang semalam di IPD Johor Bharu Selatan, beliau telah memuat naik videonya dengan menyatakan pujian terhadap layanan yang ditunjukkan pihak polis.

Hari ini beliau dalam status di facebooknya juga menceritakan pengalaman lima harinya ketika di reman di dua lokap di Johor Bharu itu.