Malaysia Dateline

Saya kena pikul tanggungjawab atas kekalahan PH, kata Anwar

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bertanggungjawab atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu, dan juga keputusan PH menerima dua bekas ADUN Umno bertanding pada PRN atas tiket PH.

“Saya kena pikul tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan ada desakan mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PH dan menerima dua bekas ADUN Umno itu sebagai punca kekalahan teruk PH di Melaka.

Bagaimanapun beliau sedia meneliti pandangan supaya meletak jawatan namun menegaskan desakan itu tidak harus dibuat secara angkuh.

“Itu pandanganlah (desakan letak jawatan). Kita teliti juga tetapi kita beri peringatan jangan nampak pandangan itu dilihat agak angkuh sehingga menimbulkan reaksi tidak baik dalam kalangan lain,” katanya dipetik FMT..

Beberapa pihak termasuk ADUN Bilut daripada DAP, Lee Chin Chen, mendesak Anwar berundur daripada menerajui gabungan parti pembangkang itu susulan kekalahan teruk PH pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.

PH hanya menang lima daripada 28 kerusi ditandingi manakala semua 11 calon PKR turut tewas.

Selain Lee, desakan sama turut ditimbulkan beberapa ahli politik lain termasuk penganalisis Wong Chin Huat, yang mencadangkan PKR bergabung dengan Amanah.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong, juga mendakwa rakyat sudah menyampah dengan PH yang didakwa berulang kali memungkiri dan mahu melihat kepimpinan baharu.

Bagaimanapun, Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata tidak adil meletakkan semua kesalahan di bahu Anwar semata-mata.

Dalam pada itu, Anwar berkata kekalahan PH perlu dilihat daripada semua aspek kerana setiap pihak ada pandangan sendiri dan kegelisahan yang disuarakan.

“Kena lihat semua aspek kerana ia tak semudah itu. Kita jumpa di kampung macam mana pandangan orang lain, jumpa di bandar, masyarakat Cina, India, Orang Asli dan Melayu majoriti ada beberapa kegelisahan dia perlu dengar,” katanya.