Malaysia Dateline

“Saya kuat bukan kerana saya Guan Eng, saya kuat kerana isteri”

Presiden PKR Anwar Ibrahim sudah tentu kecewa dengan pengkhianatan tiga orang Ahli Parlimennya ke Perikatan Nasional, yang memberikan talian hayat sementara kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin setelah kerajaannya kehilangan majoriti Parlimen.

Beliau memberitahu saya bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki telah bersetuju untuk menemuinya mengenai isu mengumpan dan mengancam Ahli Parlimen melibatkan sekurang-kurangnya lima Ahli Parlimen PKR untuk mereka beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Anwar secara terbuka mendedahkan bahawa empat Ahli Parlimen PKR yang lain, selain dari Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail, mendedahkan mereka telah didekati dengan tawaran untuk melompat. Mereka adalah Ahli Parlimen PKR dari Padang Serai, Sungai Siput, Putatan dan Miri yang sama ada diancam atau ditawarkan pelbagai umpan untuk sokongan mereka.

Anwar berkata, “Ini bukan politik. Ini adalah penyalahgunaan kuasa melalui tekanan. SPRM digunakan sebagai senjata politik. Sekiranya anda melompat, siasatan akan ditunda. Jika tidak, anda akan menjadi sasaran.”

Ini adalah kenyataan terbuka Anwar. Dalam perbincangan dalaman, beliau telah memperincikan jenis dorongan dan ancaman yang digunakan melibatkan Ahli Parlimennya yang telah melompat. Yang mengejutkan saya ialah ketika beliau mendedahkan bahawa saya adalah sebahagian daripada perbincangan yang melibatkan dua orang Ahli Parlimennya yang telah melompat.

“Saya tidak sekuat Guan Eng”.

Ini diucapkan ketika Anwar meminta mereka untuk tetap berdiri teguh walaupun ahli keluarga terdekat dan mereka sendiri mengalami berbagai tekanan. Saya berasa sedih bahawa saya sekarang dijadikan contoh apa yang boleh berlaku sekiranya seseorang tidak tunduk mengalah.

Tuduhan rasuah yang difailkan terhadap saya dan isteri tidak pernah terjadi sebelum ini kerana tidak ada satu sen pun wang suapan dijumpai dalam pegangan saya dalam bentuk wang tunai atau dalam akaun bank saya atau isteri saya. Tidak ada rakaman audio mengenai saya meminta sebarang wang untuk kepentingan peribadi saya.

SPRM begitu terdesak sehingga mereka menggunakan pendapatan isteri saya sebagai peguam selama dua tahun sebagai wang rasuah. Isteri saya telah mengisytihar dan membayar cukai pendapatan untuk pendapatan sahnya selama dua tahun. Wang rasuah selalunya disorok dan tidak diisytiharkan kepada pihak berkuasa untuk tujuan cukai kerana ia menyalahi undang-undang.

Saya kuat bukan kerana saya Guan Eng, saya kuat kerana isteri saya beri saya kekuatan untuk terus kuat.

Bukan mudah untuk disoal siasat oleh SPRM tanpa henti, ketika mereka hanya mengulangi siasatan sebelumnya bertahun-tahun yang lalu dan jelas bermotifkan politik. Walaupun tidak ada sebarang kes dalam siasatan kali pertama, SPRM sebenarnya melakukan kerja “salin dan tampal” dari siasatan kali pertama mengenai tuduhan rasuah tersebut terhadap kami.

Saya akui kesan lebih besar pada isteri saya di mana profesion guamannya terjejas dengan teruk. Beliau menderita atas ketidakadilan yang kejam ini. Saya merasa tidak berdaya kerana saya gagal sebagai suami untuk melindunginya daripada tuduhan yang direka terhadapnya. Ramai yang menyaksikan trauma emosi yang harus ditanggung oleh isteri saya dan saya bersyukur kerana kekuatan dan cintanya kepada saya, dan berani kerana benar untuk berjuang bersama saya menentang pendakwaan terpilih oleh kerajaan.

Tidak ada suami yang sayangkan isteri mereka akan sanggup melihat isteri mereka melalui apa yang telah beliau lalui. Tetapi untuk mengatakan “Saya tidak sekuat Guan Eng” kerana anda tidak mahu isteri anda menderita seperti isteri saya, secara jahatnya seakan-akan bermaksud, bahawa anda tidak kuat seperti saya kerana saya sanggup membiarkan isteri saya mengharungi pengalaman yang ngeri ini. Ini adalah salah.

Saya kuat bukan kerana saya Guan Eng, saya kuat kerana isteri saya beri saya kekuatan untuk terus kuat.

Jelas jika saya dan isteri boleh dianiaya dengan tuduhan tidak berasas tersebut, maka tidak ada seorang pun di Malaysia yang terselamat. Selagi anda tidak mengikut kehendak dalang politik mereka, maka seperti yang dikatakan oleh Anwar, “SPRM boleh digunakan sebagai senjata politik terhadap anda”.

Tidak boleh dinafikan bahawa ada rasa menyampah dan putus asa di kalangan rakyat Malaysia terhadap politik kotor dan tidak jujur seperti ini. Dalam Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International 2020, Malaysia turun 6 anak tangga ke kedudukan ke-57, berbanding kedudukan 62 pada 2017, 61 pada 2018 dan 51 pada 2019.

SPRM nampak tidak peduli dengan prestasi buruk Malaysia dalam CPI tahun lalu. Sekiranya tindakan segera tidak diambil, maka kedudukan CPI Malaysia akan menurun lebih jauh tahun ini. Terdapat keperluan untuk membersihkan bukan sahaja politik umpan dan ancaman tetapi juga badan-badan kerajaan untuk membebaskan mereka dari campur tangan politik.

Tidak ada ruang untuk politik pengkhianatan atau dendam, terutama terhadap ahli keluarga yang tidak bersalah. Hanya dengan itu kita dapat menanamkan keyakinan rakyat terhadap akauntabiliti dan ketelusan bahawa ada kemahuan dan komitmen politik untuk memerangi rasuah tanpa gentar atau pilih kasih.