Malaysia Dateline

“Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk PN”

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didakwa di mahkamah esok berkaitan satu program makan malam pengumpulan dana pada tahun 2018 bagi mengumpul dana Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut Syed Saddiq pendakwaan ke atasnya bersifat politik di mana pendakwaan boleh dilakukan dengan kadar segera kerana semua saksi telah dipanggil sejak tahun lalu.

Syed Saddiq tidak menolak pendakwaan ke atasnya dijadikan modal untuk beliau menyokong kerajaan Perikatan Nasional termasuk semasa pengundian pertukaran Speaker Dewan Rakyat, sebelum pengundian Bajet 2021 dan terkini Parlimen akan bersidang dalam masa terdekat.

“Walau berkali-kali ditekan saya kekal dengan pendirian untuk tidak menyokong Perikatan Nasional.

“Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk Perikatan Nasional.

“Sudah lebih setahun saya diugut untuk didakwa jika tidak menyertai PN.

“Setiap kali ada undian penting di Parlimen ugutan akan datang pada bulan Disember, Januari dan kini seminggu sebelum sidang Parlimen bersidang.

“Pada masa seperti ini saya teringatkan mengapa saya menyertai Politik. Kebenaran akan sentiasa berlaku.

“Jumpa di Mahkamah KL esok 8.00 pagi dan Live FB/insta 8.00 malam untuk pendedahan saya,” katanya melalui klip video yang dikongsi di Facebook malam ini.