Malaysia Dateline

Saya mahu dalang di sebalik pembunuhan anak saya, kata bapa Altantuya

Altantuya
Bapa Altantuya mahu memburu dalang di sebalik pembunuhan anaknya.

Bapa Altantuya Shaarriibuu, wanita Monggolia yang dibunuh dengan kejam tidak berminat untuk membincangkan nasib pembunuh anaknya tetapi mahu memburu dalang di sebalik tragedi kejam itu.

Setev Shaarribuu memberitahu yang beliau tidak mahu bercakap tentang Sirul Azhar Umar, bekas pengawal peribadi yang disabit bersalah membunuh anak perempuannya pada 2006.

“Saya tak mahu cakap tentang Sirul,” katanya pada sidang media di pejabat peguam keluarga Shariibuu, Ramkarpal Singh hari ini.

“Paling penting adalah siapa yang mengarahkan pembunuhannya,” kata Satev yang telah menemui Peguam Negara, Tommy Thomas dan sedang berusaha untuk bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Satev berada di Malaysia sejak beberapa hari lalu selepas kerajaan Malaysia bertukar tangan bagi menuntut agar misteri di sebalik pembunuhan anaknya dibongkar sepenuhnya.

Altantuya, 28, ditembak mati dan mayatnya diletupkan di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.

Dua anggota polis- Sirul dan Azilah Hadri- kedua-duanya bekas pengawal peribadi Najib Razak didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada 2015.

Sirul yang melarikan diri ke Sydney, Australia setahun selepas disabit bersalah mendakwa hanya mengikut arahan orang atasan.

Malaysia sedang berunding dengan Canberra untuk penghantaran pulang Sirul bagi memberi keterangan.

Tetapi, dia dilaporkan meluahkan kebimbangan tentang keselamatan dirinya kepada rakan-rakannya jika kembali ke Malaysia.

Ramkarpal berkata bahawa Sirul tidak penting sama sekali dalam kemungkinan pembukaan semula siasatan pembunuhan Altantuya.

“Terdapat bukti lain daripada prosiding jenayah itu sendiri.

“Saksi penting tidak dipanggil dalam prosiding itu yang menimbukan persoalan mengenai motif dan juga siapa yang mengarahkan pembunuhan itu,” kata beliau yang dipercayai merujuk kepada seorang pegawai kanan polis yang menjadi pengawal kepada keselamatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.