Malaysia Dateline

Saya mahu parti yang saya sokong menang, tapi saya tidak mahu calon parti lain yang berpotensi hanyut begitu saja

Hari ini banyak pemimpin politik bercakap tentang politik matang. Bagi saya, politik tidak akan matang selagi kita tidak dapat melihatnya dalam pelbagai warna.

Buat masa ini masih banyak orang melihat politik sebagai hitam dan putih, sokong atau tidak sokong.

Saya mengenali politik melalui Umno ketika remaja. Tetapi pada tahun 2015 saya menarik diri dan dalam pilihan raya umum 2018 melawan Umno atas landasan Pakatan Harapan.

Dalam bulan Ogos 2020 saya keluar Bersatu (dan dikeluarkan oleh Bersatu). Sentimen saya kekal dengan idealisme yang saya perjuangkan di beah panji-panji PH.

Saya dilahirkan dalam keluarga Umno dan selama 32 tahun menjadi “card-carrying member” parti itu.

Saya keluar Umno bukan kerana benci kepadanya tetapi kerana tidak mahu bersubahat dengan pemimpinnya yang jahat.

Ada ahli dan penyokong parti mahu semua parti dan calon yang melawan parti dan calon mereka, musnah. Itu bukanlah dasar yang tepat dan bukan ciri politik matang.

Kalau semua parti yang menentang parti kita musnah memanglah mudah bagi parti kita untuk memerintah malah untuk melakukan kejahatan sekali pun kerana tidak ada siapa lagi akan menegur atau melawan dalam Parlimen dan ketika pilihan raya.

Hal seperti itu telah pun berlaku di banyak negara apabila parti yang memerintah menjadi terlalu kuat sehingga membunuh atau mengharamkan parti-parti lain dan memerintah secara kuku besi.

Pendirian saya adalah saya mahu parti yang saya sokong menang, tetapi saya tidak mahu calon-calon parti lain yang baik dan berpotensi hanyut begitu saja.

Manalah tahu, satu hari parti yang saya sokong menjadi busuk.

Pada ketika itu saya memerlukan parti dan pemimpin yang baik bagi memumbangkan parti saya yang bertukar menjadi jahat macam yang saya lakukan kepada Umno/BN dalam PRU-14.

Dalam konteks itulah saya melihat pengumuman Khairy Jamaludin yang dia bercita-cita menjadi Perdana Menteri satu hari kelak sebagai menarik dan baik bagi Umno.

Sama seperti kemunculan barisan pewaris serta calon muda dalam parti-parti PH.

Inilah manifesto saya dan saya harap setiap pengundi Malaysia mempunyai manifesto masing-masing.

Atas semangat itu jugalah saya menyokong dengan mengunjungi sebanyak yang boleh calon-calon muda dan calon-calon barisan pewaris. Saya kagum dengan semangat juang mereka.

Baca juga: Tentera didakwa dibayar RM300 untuk undi awal di Parlimen Bera, Anwar dedah

Baca juga: Alahai, baru je lulus ujian memandu, kereta pula terbabas masuk sungai