Malaysia Dateline

“Saya mahu polis siasat, tidak timbul soal aibkan sesiapa,” kata Lokman Adam

Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau membuat laporan polis berhubung penularan video intim mirip Azmin Ali, sesuatu yang mengaibkan.

Beliau berkata, laporan polis yang dibuatnya pada 11 Jun lalu adalah untuk meminta pihak polis menyiasat siapa yang menyebarkan video lucah berkenaan.

“Saya bukan menyebarkan video lucah. Saya cuma minta supaya pihak polis siasat siapa yang menyebarkan video tersebut.

“Saya juga minta pihak polis menyiasat siapa yang berlakon dalam video tersebut.

“Ia adalah satu jenayah dan tidak timbul bahawa kita mendedahkan keaiban seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

“Ini bukan soal mengaibkan sesiapa. Tidak!” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat demonstrasi secara aman di hadapan pusat beli-belah Sogo, semalam bagi menuntut Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan.

Dalam pada itu, Lokman turut memberi contoh kesan dihadapi jika benar dalam video itu adalah Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Lokman memberi contoh, sekiranya negara menghadapi masalah dengan Singapura berkenaan isu air dan isu ruang udara.

“Kalau tiba-tiba pada masa akan datang, kita hantar Azmin Ali untuk runding dengan pihak Singapura, ketika itu Singapura kata OK kalau you (Azmin) nak naikkan harga air, ini video yang kami ada.

“Sebab setiap kali pemimpin negara ini keluar negara, mereka dipantau agensi perisikan. Buktinya, dalam kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008 dengan Saiful Bukhari.

“Pada ketika itu, Lee Kuan Yew telah hantar satu pesanan kepada The White House dan dalam pesanan itu, Kuan Yew mengatakan bahawa Badan Perisikan Singapura mendapati Anwar tahu ianya satu perangkap.

“Maknanya pihak risikan Singapura memantau Anwar, apatah lagi Azmin yang saya sebagai sahabat baik dia, saya tahu dia simpan duit di Singapura, bukan hanya di tempat lain, dia banyak simpan duit dan ulang-alik ke Singapura.

“Saya yakin, kalau dalam negara pun dia tak jaga diri dia (ada video dengan Haziq), di luar negara lagi banyak video dia,” katanya lagi.