Saya masuk masjid, kata Elizabeth Wong

Saya masuk masjid, kata Elizabeth Wong

 

“Masuk masjid.” Itulah jawapan ringkas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong ketika ditanya apakah beliau masuk Islam berikutan tersebarnya gambar beliau bertudung labuh dan berjubah di media sosial.

Menurut Eli, beliau bersama-sama dengan ramai bukan Islam yang lain menyertai program Masjid Terbuka di Surau As Syakirin, Bandar Utama baru-baru ini.

Melalui program itu, orang bukan Islam diberitahu tentang ibadat orang Islam termasuk sembahyang, cara mengambil air sembahyang dan bagaimana orang Islam berpakaian.

Eli antara yang menyertainya dan mencuba pakaian wanita Islam itu dalam sesi mengambil gambar ‘How Do I Look In Hijab’.

Ekoran itu, gambar beliau mencuba pakaian itu tersebar dan datanglah isu apakah beliau memeluk Islam.

Pengunjung bukan Islam diberitahu bagaimana orang Islam mengambil wuduk dalam program "Open Mosque' Surau As Shakirin, Bandar Utama.Surau Al-Syakirin bersama Yayasan Hidayah Centre membuka pintunya untuk menjemput seluruh komuniti, khususnya tetangga beragama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain dalam program ‘Mosque Open Day’ (MOOD).

Objektifnya membawa komuniti bukan beragama Islam untuk mendekati serta memahami Islam menerusi institusi masjid sebagai pusat aktiviti dan pembangunan masyarakat setempat.

“Kita bukan nak mengajak atau jauh sekali memaksa siapa-siapa untuk menukar agama.

“Apa yang kita buat ini adalah untuk menyampaikan Islam itu sebagai ‘rahmatan lil ‘alamin’ (rahmat sekalian alam), sebuah agama universal dengan nilai-nilai universal dan kalau boleh menepis prejudis serta syak wasangka tentang Islam,” kata pengarah program, Jamaludin Shamsudin sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

Dalam program sehari yang berlangsung dari 9 pagi hingga 1 petang itu, antara aktiviti yang diadakan adalah lawatan ke sekitar surau yang dikendalikan oleh kakitangan Program Jelajah Masjid dari Masjid Wilayah Persekutuan yang turut sama menjayakan program itu.

Pengunjung dibawa ke serata kawasan surau seperti ruang solat, juga ditunjukkan ibadat yang dilakukan di masjid serta cara-caranya dan penjelasan mengenainya.

Selain lawatan surau, juga diadakan pelbagai aktiviti lain seperti ‘free market’, sesi perkongsian dengan saudara baru, sesi ambil gambar ‘How Do I Look In Hijab’ serta pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan Segi University & College dan Pusat Perubatan Tropicana.

TAGS