Saya orang motivasi, bebas penuhi jemputan mana-mana pihak, kata Tg Asmadi

Saya orang motivasi, bebas penuhi jemputan mana-mana pihak, kata Tg Asmadi

Bekas calon BN Parlimen Kuala Nerus, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad tampil menjelaskan perkara sebenar selepas beliau dikatakan akan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam sebuah majlis malam malam di Kuala Terengganu malam tadi.

Dalam kenyataannya beliau telah dijemput Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Hasbie Muda untuk menghadiri Majis Makan Malam anjuran pemuda negeri itu.

Asmadi menyambut jemputan itu dengan baik bagi memanjangkan hubungan silaturahim dengan Hasbi memandangkan beliau adalah bekas pelajar Motivasi Alihan Pelajarnya.

“Malah dalam AMANAH ramai rakan-rakan satu usrah saya dahulu sewaktu sama-sama belajar di Australia dan sewaktu menjadi Pensyarah di USM,” katanya.

Jelasnya, memandangkan beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti dan tidak memenangi apa-apa kerusi maka beliau bebas untuk memenuhi apa juga jemputan daripada mana-mana pihak.

“Saya bukan orang politik saya orang motivasi. Persetujuan kehadiran saya juga bukan atas platform politik tetapi bersetuju hadir atas kapasiti saya sebagai Pakar Motivasi,” katanya.

Malangnya, kata beliau persetujuannya untuk hadir itu telah disalahtafsir dan menjadi viral dan berharap ia menjawab segala persoalan yang timbul.

“Doakan saya dapat lakukan yang terbaik untuk Ummah,” tambah beliau.

Terdahulu, Malaysia Dateline melaporkan seorang bekas calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu akan mengumumkan penyertaan beliau ke dalam AMANAH di Kuala Terengganu malam tadi.

Menurut sumber, pakar motivasi itu dijangka akan berbuat demikian dalam Majlis Makan Malam Amal Pemuda AMANAH Terengganu di Terengganu Equestrian Resort.

Individu berkenaan dijangka akan menyerahkan borang permohonan menjadi ahli AMANAH itu kepada Timbalan Presiden, Datuk Salahudin Ayub.

 

COMMENTS