Malaysia Dateline

Saya perancang bandar profesional, Kg Bharu akan selesai tidak lama, kata Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan yang baru, Datuk Annuar Musa yakin masalah pembangunan Kampung Bharu akan dapat diselesaikan dengan segera kerana beliau adalah perancang bandar profesional.

“Isu ini tidak akan ambil masa lama sebab saya perancang bandar profesional. Jadi tidak sukar untuk saya hadam isu ini,”kata Annuar dalam sidang media pertama di hari pertama beliau mendaftarkan diri di kementerian berkenaan.

Namun begitu, katanya, beliau akan meneliti isu tersebut bersama pihak kementerian dan mendengar taklimat dari mereka terlebih dahulu.

“Saya rasa tolong beri saya masa.

“Saya kena dengar taklimat dari pihak kementerian dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Annuar dilaporkan sebagai berkata, isu pembangunan Kampung Baru tidak perlu dipolitikkan oleh PH dan boleh selesai jika pemilik tanah di kawasan terbabit ditawarkan dengan harga pasaran.

“Tak payah nak politik Kampung Baru. Bayar ikut harga pasaran, selesai,” katanya.

Annuar ketika itu menolak harga RM850 sekaki persegi yang ditawarkan oleh kerajaan PH melalui menterinya Khalid Samad.

“Harga RM850 kaki persegi bukan nilainya tanah di Kampung Baru. Semua prasarana sudah tersedia, kenapa kerajaan PH masih hendak diskriminasi? Yang beli tanah itu bukan pihak swasta tetapi kerajaan,” kata Annuar.

Menurut Annuar pada September tahun 2019 itu, Khalid perlu tahu jumlah yang ditawarkan BN ketika itu tahun berapa dan sekarang sudah masuk tahun ke berapa.

“Isunya berapa peratuskan harga ditawarkan berbanding harga tanah bersebelahan (sekitar KLCC)? Kurang daripada itu, kita faham tapi takkan 30 peratus sahaja dari harga tanah KLCC yang menjangkau RM3,000 kali persegi,” katanya.

Mengenai dakwaan Khalid yang BN kini tidak lagi menjadi kerajaan sebab itu boleh menawarkan berapa sahaja harga, Annuar membalas balik dengan pertanyaan, berapa ukuran kepadatan yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hendak diberikan nanti.

Begitu juga katanya, berapa plot nisbah dan apa jenis penggunaan tanahnya.

“Beli dengan 25 peratus harga pasaran, selepas itu beri ukuran kepadatan dan plot nisbah yang tinggi. Jual balik pula pada harga pasaran. Bijakkan,” katanya sinis.

Berhubung kenyataan Khalid untuk tidak menghalang jika ada dalam kalangan pemimpin UMNO mahu membeli tanah Kampung Baru dengan harga RM3,000 kaki persegi, Annuar menjelaskan, undang-undang memberi hak kepada pemilik mendapat harga pasaran dan kampung itu adalah kawasan yang sudah dibangunkan.