Malaysia Dateline

Saya percaya kepada perlembagaan AMANAH, kata Prof Kamil

Penyertaan Prof Dr Mohamad Kamil Abdul Majid ke dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) kerana beliau mempercayai perlembagaan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Menerusi hantaran Facebooknya, pakar dalam bidang usuluddin dan pemikiran Islam itu membidas kenyataan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang cuba mengulas penyertaannya dalam AMANAH.

Adik kepada Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi itu berpendapat kenyataan pensyarah tersebut bersifat berat sebelah.

“Terima Kasih prof Dr Kamarul Mohd Yusof (terkenal dengan Dr Kayu) mengulas penyertaan saya dalam AMANAH seperti tersiar dalam Harakadaily.

“Tapi tulisannya bias bila menuduh saya cuba nak bawa Anwarinas atas alasan saya bekas orang ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).

“Saya sertai AMANAH kerana percaya kepada perlembagaan parti AMANAH bawah tajuk Dasar dan Tujuan,” katanya yang telah menyerahkan borang keahlian parti pada 5 September lalu.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ustaz Kamil pernah menjadi pensyarah di Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM) sejak tahun 1981 selama lebih 35 tahun.

Sebelum ini, Kamarul berkata penyertaan Ustaz Kamil dalam AMANAH hanyalah untuk memperkuatkan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dengan sokongan kuat beliau kepada Anwar Ibrahim dan bukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak pelik jika ada yang berteori bahawa kemasukan Dr Kamil Majid mungkin adalah untuk memperkuatkan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam AMANAH” katanya baru-baru ini.