Malaysia Dateline

‘Saya pernah bantah pembangunan melampau di Taman Desa pada 2017’

 Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata beliau pernah menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap pembangunan melampau di kawasan sekitar Taman Desa pada tahun 2017.

Katanya beliau bersama Persatuan Penduduk Taman Desa, telah memulakan petisyen untuk membantah pembinaan kondominium baharu serta memanggil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengkaji semula semua projek baharu di Taman Desa.

Beliau berkata petisyen itu turut membantah projek pembinaan kondominium 37 tingkat di kawasan itu, yang sebahagian daripada struktur binaannya runtuh dalam insiden Jumaat lepas, mengakibatkan dua pekerja warga Bangladesh terperangkap, namun kedua-duanya berjaya diselamatkan kemudiannya.

“Saya telah dimaklumkan oleh DBKL bahawa kelulusan pelan bangunan itu telah diberi pada Jun 2017 dan projek itu dimulakan pada Feb 2018. Saya tidak mahu berkata tentang perkara ini, bukan saya yang meluluskan projek itu,” katanya.

“Oleh itu, dengan mengatakan saya lari daripada tanggungjawab dan mengabaikan penduduk Taman Desa adalah tidak benar. Kami telah membantah pembangunan yang melampau menerusi petisyen (terdahulu),” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan insiden berkenaan di sini hari ini.

MCA sebelum ini meminta Kok, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan menjelaskan mengapa bantahan terhadap pembangunan melampau di kawasan itu tidak diendahkan.

Semalam, dilaporkan satu pakatan penduduk di Taman Desa yang sebelum ini membantah projek kondominium itu mahu pihak berkuasa mengkaji semula kelulusan projek berkenaan susulan insiden itu yang telah menimbulkan banyak kebimbangan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran dengannya.

— BERNAMA