Saya pernah tertawakan Filipina, sekarang Malaysia begitu, kata Musa

Saya pernah tertawakan Filipina, sekarang Malaysia begitu, kata Musa

Tun Musa Hitam melahirkan kebimbangan dengan keadaan semasa di Malaysia yang disamakan seperti negara Filipina suatu ketika dahulu.

Beliau menyifatkan keadaan sekarang seperti kebiasaan baharu berikutan kes keganasan dan pembunuhan yang berlaku di negara ini.

“Saya pernah menjadi saksi kepada Filipina yang lalu sebagai sebuah negara yang gagal. Saya ingin memberitahu anda, di Filipina dahulu kejadian tembakan, pembunuhan, rompakan adalah biasa.

“Beg diragut ketika berjalan adalah normal. Kediaman di sana mereka terpaksa menggunakan penjaga, orang kaya perlu menggaji pengawal keselamatan, kenderaan dipasang kalis peluru.

“Tanda-tanda yang berlaku di Filipina ketika itu dapat disimpulkan sebagai sebuah negara yang gagal.

“Saya pernah mentertawakan keadaan negara itu kerana ia tidak berlaku di negara kita,” katanya pada sidang media selepas pelancaran memoirnya, Frankly Speaking di Kuala Lumpur Golf & Country Club semalam, dipetik sumber Malaysiagazette.

Tambahnya, bekas Presiden Aquino terpaksa mengambil masa enam tahun untuk membina Filipina semula sebelum pertumbuhan ekonomi negara itu mencapai tahap membanggakan di Asia Tenggara.

“Ini adalah soal kepimpinan dan beliau berjaya menangani isu-isu,” kata Musa yang mahu keadaan di Filipina itu dibandingkan dengan keadaan di Malaysia sekarang.

Malah, katanya, rakyat juga kini semakin rasa tidak selamat untuk keluar rumah, lantas membawa kayu dalam kereta, wanita pula membawa penyembur sebagai langkah-langkah keselamatan.

Ini adalah tanda-tanda rakyat semakin bimbang dan tidak yakin dalam agensi-agensi pentadbiran di negara ini.

Musa juga tidak puas hati dengan keadaan jalan-jalan raya yang berlubang.

“Saya luahkan ini kerana saya memandu dan saya berjalan,” katanya

TAGS