Saya pertikai pembohongan PN bukan pertikai Agong, kata Khalid
"Saya pertikai pembohongan yang dilakukan. (Adakah) hormat pada Agong dibuktikan dengan membohongi Agong?" tanya Khalid kepada Rezuan.

Saya pertikai pembohongan PN bukan pertikai Agong, kata Khalid

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menafikan beliau mempertikaikan atau mempersoalkan keputusan Yang Dipertuan Agong melantik perdana menteri baru tetapi mempertikaikan pembohongan yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) kepada Baginda.

Membalas dakwaan bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Rezuan Yusof, Khalid berkata, beliau tidak pertikai atau persoal keputusan Agong atau perlembagaan.

“Saya pertikai pembohongan yang dilakukan.

“(Adakah) hormat pada Agong dibuktikan dengan membohongi Agong?” tanya Khalid kepada ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu.

Beliau dipercayai mempertikaikan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong mereka sebagaimana yang dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong sehingga Baginda percaya Muhyiddin mempunyai jumlah yang cukup untuk dilantik sebagai PM.

Sedangkan, kata Khalid, sebahagian dari yang disenaraikan itu telah memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir untuk menjadi PM termasuk enam ahli parlimen Bersatu.

PN didakwa menyenaraikan kesemua ahli parlimen Bersatu sebagai menyokong Muhyiddin dilantik sebagai PM dalam senarai yang dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

Ia termasuklah enam penyokong Tun Dr Mahathir sedangkan mereka tidak menyokong Muhyiddin.
Mereka termasuklah Dr Mahathir (Langkawi), Datuk Seri Muhkriz Mahathir (Jerlun), Syed Sadiq Abdul Rahman (Muar), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah).

Khalid juga mempertikaikan dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Pembohong,” kata Khalid melalui twitter beliau bagi menjawab berita yang disiarkan oleh satu laman berita.

Sehubungan dengan itu, Khalid berkata, beliau telah mengarahkan peguam beliau untuk mengkaji dakwaan ini.

“Jika perlu, saya akan menyaman beliau dan laman berita yang menyiarkannya,” kata Khalid kepada Malaysia Dateline.