Malaysia Dateline

Agus Yusuff

Saya pilih Anwar kerana negara lebih utama dari bangsa, kata Prof Agus

Saintis politik, Datuk Dr Mohamad Agus Yusof berkata, beliau memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri pilihannya kerana lebih mementingkan negara dari bangsa.

“Kenapa DSAI pilihan saya? Prinsip perjuangan lebih secocok dengan saya. Jiwa saya mendahulukan negara dari bangsa. Jiwa saya mengangkat empat perkara yang saya nyatakan kelmarin.

“Jika saya dahulukan negara, mana semangat Melayu saya? Saya telah menulis dalam posting sebelum ini tentang staatsvolk. Telah saya nyatakan untuk Malaysia, staatsvolk Melayu adalah asasnya.

“Teras ini jangan diusik, tetapi ini tidak bermakna kita boleh terus dengan sentimen perkauman. Sentimen perkauman adalah anti staatsvolk yang tidak akan membina negara Malaysia yang bersatu,” kata bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Semalam Agus menyatakan, “Jika diminta memilih satu dari empat nama, siapa PM pilihan saya?

“Saya memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya kerana saya mahu memberi peluang kepada beliau setelah lama berjuang. Tidak.

“Tetapi kerana beliau mengangkat nilai dan falsafah demokrasi yang saya mahukan: kebenaran, keadilan, kesejahteraan dan kemanusiaan,” kata Agus dalam tulisan itu.

Agus membuat pilihan itu berdasarkan empat calon yang ada sejak semalam.

“Sekarang ini difahamkan tidak ada parti yang mempunyai majoriti, tetapi masing-masingnya mempunyai calon sendiri seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Datuk Seri Shafie Afdal,” tulis Agus.