Malaysia Dateline

Saya, pisang dan AMANAH

Saya, pisang dan AMANAH. Sebaik kita mula menanam benih pisang, kita tahu ia akan diancam dengan haiwan liar seperti babi hutan serta serangga perosak.

Jadi untuk melindunginya, kita perlu sediakan dahulu benteng pertahanannya seperti memasang pagar atau menggali longkang besar di sekeliling kebun.

Semasa kita menubuhkan AMANAH dulu pun ramai yang mendoakan supaya AMANAH terkubur dalam masa setahun dua.

Saya, pisang dan AMANAH
Bunuh serangga dan tabur baja untuk tumbesaran pokok

Alhamdulillah ia mula membesar selepas 3 bulan. Kadang-kadang serangga suka hinggap dan merosakkannya, jadi ketika ini kita kena bunuh serangga tu dan menabur baja untuk menggalakkan pembesarannya.

Alhamdulillah sejak ditubuhkan pada 16 September 2015, AMANAH mula berkembang dan banyak kawasan serta cawangan telah ditubuhkan.

Selepas pokok dah tinggi kita, daunnya kena dikurangkan supaya zat yang diserap dari tanah dapat menggalakkan pengeluaran buah.

Ketika PRU ke-14 dahulu AMANAH terpaksa korbankan banyak kerusinya untuk memberi laluan kepada rakan-rakan komponennya dalam PH.

Kita tak menyesal pun kerana matlamat kita pada waktu itu adalah untuk memastikan kemenangan.

Buah dibalut supaya tidak diganggu serangga perosak

Selepas dah buang jantungnya, buah tu kena dibalut supaya tak diganggu dengan serangga perosak. Daunnya pun saya dah kurangkan supaya buah dapat menyerap lebih banyak zat.

Kesepakatan itu kita jaga dan sebarang rasa tak puas hati kita bincangkan secara musyawarah dan secara dalaman.

Alhamdulillah dah tiba masa untuk menuai hasilnya selepas setahun kita menanamnya.

Alhamdulillah PH berjaya menewaskan BN dan membentuk kerajaan.

Kerja memikul pisang ni perlukan tenaga yang banyak. Nak tahu penat ke tak kena cuba pikul. Haha.

Selepas kita berjaya menjadi kerajaan, kita perlu memikul amanah yang sangat berat untuk memperbetulkan atau reform semula negara kita.

Alhamdulillah dah boleh dijual dan simpan untuk dimakan.

Dengan kuasa yang kita miliki kita boleh menentukan pada siapakah kita nak kongsikan hasil bumi ini.

Hasil dipek untuk disedekahkan kepada penduduk di sekitar DUN

Sebahagian hasil saya hantar ke Pusat Khidmat DUN untuk dipek dan disedekahkan kepada penduduk sekitar DUN.

Kita semua sepakat dan saling bantu-membantu menjayakan semua agenda kesejahteraan rakyat yang ingin kita buat.

Alhamdulillah inilah sebahagian hasilnya yang dapat saya kongsikan kepada penduduk di DUN Bukit Katil dan DUN-DUN yang lain juga.

Alhamdulillah walaupun tempohnya sangat singkat tetapi banyak perkara baik yang telah kita berikan kepada rakyat. Itulah makna kepuasan dalam perjuangan – dapat mengota apa yang dikata.