Saya pun berdoa dan sentiasa berdoa, kata juruterbang AirAsia X

Saya pun berdoa dan sentiasa berdoa, kata juruterbang AirAsia X

Beliau berkata  doa harus disusuli dengan usaha. Insiden berlaku itu menguji kecekapan  dan  turut membuka peluang dirinya untuk bermuhasabah diri.

“Terpulang kepada individu. Sekiranya ada yang tidak mempercayai doa, tidak mengapa. Saya orang Islam, saya percaya kepada doa.

“Tetapi kita tetap perlu berusaha selepas berdoa.

“Ketika kejadian, apa yang ada dalam fikiran saya adalah persoalan sudah cukupkah amalan saya?” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Manalakan dalam satu  satu temubual dengan Berita Harian online beliau menceritakan detik cemas yang terpaksa dilaluinya untuk menyelamatkan penumpang dan anak kapalnya.

“Saya bersyukur kerana dapat mendaratkan pesawat dengan selamat di Perth,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada pembantu juruterbang, kru dan penumpang yang bersama mengharungi detik cemas itu.

Menceritakan detik cemas ketika berada pada paras ketinggian 40,00 kaki berlaku secara tiba-tiba beliau terdengar bunyi perlanggaran di udara.

“Ketika berada pada paras 38,000 kaki dan bergerak ke ketinggian 40,000 kaki, tiba-tiba kami terdengar bunyi terlanggar dengan benda seperti besi. Saya fikir ketika itu sudah berlanggar dengan kapal terbang lain.

“Pesawat berpusing ke kiri, selepas itu ke kanan. Saya tahu ini berlaku kerana enjin di sebelah kiri gagal berfungsi menyebabkan auto pilot (pengemudi automatik) yang sudah ditetapkan untuk terbang ke kiri berpusing kembali ke kanan.

“Jadi, apabila saya buat pemeriksaan terhadap enjin, mendapati enjin di sebelah kiri sudah rosak, maka saya dan pembantu juruterbang, Vincent Low mematikan enjin dan pusing ke sebelah kanan dan memaklumkan kepada menara kawalan di Perth penerbangan dalam keadaan kecemasan dengan isyarat may day,” kata Kapten Ibrahim.

Insiden itu berlaku ketika Ibrahim sedang menulis laporan, manakala pembantunya sedang makan. Beliau menceritakan selepas insiden itu pesawat terus terbang dengan satu enjin dan mengikut prosedur pesawat perlu diturunkan ke paras 25,000 kaki bagi menstabilkannya.

“Bagaimanapun, ketika pesawat mula turun, tiba-tiba berlaku gegaran yang begitu teruk sekali. Saya dan pembantu berbincang dan melihat kedudukan pesawat serta melihat pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi. Jadi kami mengambil keputusan cuba mengurangkan kelajuan pada tahap paling minimum yang dibenarkan untuk mengurangkan gegaran namun ia tidak berjaya.

“Kami berdua tidak pernah putus asa, sebaliknya terus mencari jalan supaya dapat mendarat dengan baik di Perth,” katanya.

Ibrahim berkata, beliau dan pembantunya sudah berikhtiar pelbagai cara dan cubaan dilakukan untuk mengurangkan gegaran tetapi semua usaha mereka gagal.

Beliau mengakui tidak panik sepanjang mengendalikan situasi cemas 1 jam 40 minit yang belum pernah beliau alami sepanjang 25 tahun menjadi juruterbang, sebaliknya kejadian itu menginsafi dirinya. Kerosakan enjin itu berlaku ketika pesawat AirAsia X D7237 berada di ruang udara Carnarvon, dekat perairan barat Australia.

Ditanya mengapa beliau memutuskan untuk berpatah balik ke Perth dan bukannya mendarat di dua lapangan terbang lebih berhampiran iaitu di Geraldton dan Lermond, katanya keputusan diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Umum masalah pesawat “Selepas berbincang dengan pembantu, saya memutuskan untuk kembali ke Perth dengan mengambil kira pelbagai faktor dan perkara. Selepas itu, baru saya membuat pengumuman kepada penumpang mengenai masalah dihadapi pesawat dan terpaksa patah balik.

“Kecemasan yang kami alami bukannya kecemasan yang memerlukan pendaratan segera. Mengikut SOP Airbus dan AirAsia X, pendaratan segera berhampiran lapangan terbang terdekat dibenarkan untuk kes kebakaran atau asap.

“Lagipun, saya tidak pernah mendarat di Lapangan Terbang Geraldton dan Learmond, saya tidak tahu kedudukan landasannya, manakala pesawat yang saya bawa berat serta mengambil kira kemungkinan ada peralatan lain yang rosak ketika pendaratan.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Perth dan minta bersedia untuk semua kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan, tidak juga terlintas di fikirannya untuk mendaratkan pesawat berkenaan di dalam air, namun meminta kru penerbangan di kabin untuk membuat persediaan pendaratan kecemasan.

Mengulas mengenai dakwaan penumpang mengenai suaranya yang bergetar dan kedengaran seperti ketakutan, Ibrahim menegaskan beliau tidak panik atau berasa ketakutan dengan situasi berkenaan.

“Boleh jadi suara saya bergetar dan bunyi seperti ketakutan kerana pesawat itu sendiri sudah bergetar ketika itu menyebabkan suara saya kedengaran sedemikian.

“Saya dan pembantu memang tenang, malah sentiasa berbincang menangani situasi itu. Kami tidak panik atau takut… tidak terlintas di fikiran saya (panik). Saya hanya memikirkan soal keselamatan penumpang dan pesawat sahaja,” katanya.