Malaysia Dateline

‘Saya rasa dalam bahaya’, Presiden Parti Bumi Kenyalang ditahan SPRM

Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat pagi ini.

Menerusi hantaran video yang dikongsi di Facebook pagi tadi, beliau mendakwa telah diarah berhenti oleh penguatkuasa SPRM ketika memandu seorang diri.

Beliau mendakwa kunci keretanya diambil dan sekurang-kurangnya empat pegawai mengelilingi keretanya.

“Saya rasa saya dalam bahaya. Nyawa saya terancam. Saya tidak tahu sama ada mereka ialah perompak atau apa. Mereka tidak menunjukkan sebarang pengenalan diri. Saya terkejut, saya tak rasa selamat sekarang.

“Mereka sepatutnya hubungi saya, bukannya memberhentikan kereta saya seperti ini. Ia tidak wajar,” katanya dalam video pertama yang dimuat naik kira-kira 8 pagi tadi.

“Saya ditahan oleh SPRM. saya keseorangan. Mereka mengambil kunci kereta saya,” katanya lagi dalam rakaman video yang kedua.

Sementara itu media melaporkan, dalam sidang media di luar pejabat SPRM, calon PBK untuk kerusi Batu Kawah, Chai Kueh Khun mendakwa Voon yang tiba-tiba disoal siasat adalah tindakan intimidasi untuk melemahkan parti itu.

Beliau berkata, Voon diminta memberi keterangan berhubung satu kes, tetapi SPRM tidak memberikan butiran lanjut.

“Hari ini anda lihat bagaimana mereka layan PBK. Ia bertujuan menakutkan kami. Kami tidak lakukan sebarang kesalahan, semua yang kami buat berlandaskan undang-undang dan demi rakyat Sarawak,” katanya.