Malaysia Dateline

Saya rasa parti Syed Saddiq tidak akan menang, kata Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap parti baharu yang akan ditubuhkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan berjaya untuk menang dalam pilihanraya.

Beliau berkata, dalam sesebuah parti kebiasaannya akan memfokuskan untuk meraih undi daripada kedua-dua segmen iaitu warga tua dan golongan muda.

Namun, jika parti yang mahu ditubuhkan oleh bekas sayap pemuda Bersatu itu hanya memfokuskan kepada pengundi muda, ia akan menemui jalan sukar untuk menang.

“Kita tak tahu kenapa dia nak tubuh parti baharu. Tapi dia nak perjuangkan anak muda, itu adalah jumlah yang besar. Cuma saya rasa ianya tak akan berjaya.

“Biarpun anak muda sebahagian daripada pengundi dalam pilihanraya, tetapi ianya tak cukup untuk menang hanya dengan sokongan mereka.

“Di mana-mana kawasan pilihanraya, akan ada pengundi tua dan muda. Kita ‘appeal’ kepada kedua-duanya termasuk anak muda. Tapi kalau dia hanya fokus kepada golongan muda sahaja, susah untuk berjaya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq mengesahkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu berbilang kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

Beliau juga berkata tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan Mahathir.

Sementara itu, Mahathir berkata, keputusan Syed Saddiq itu tidak menjejaskan hubungan antara mereka.

Menurutnya, mereka masih lagi bersatu di bawah satu perjuangan yang sama untuk menentang rasuah.

“Ini negara bebas, dia boleh buat apa sahaja. Dia pernah menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) tapi sekarang dia rasa nak buat haluan dia sendiri.

“Hubungan kita masih lagi baik dan tiada masalah selagi objektifnya untuk menentang korupsi,” katanya lagi.