“Kalau pembunuh anak saya dijatuhi hukuman gantung sampai mati, saya akan rasa tenang.”
Itu luahan Tan Siew Lin, 57, ibu kepada mendiang Annie Kok Yin Cheng yang dibunuh dan dirogol oleh Rabidin [email protected] Bentong pada 7 Mac 2009 ketika berumur 17 tahun.
Sambil menitiskan air mata, Siew Lin sangat mengharapkan pembunuh anaknya itu dikenakan hukuman setimpal, iaitu gantung sampai mati.
“Saya nak pembunuh anak saya itu mati juga. Pembunuh (Rabidin Satir) mesti kena gantung.
“Walaupun kejadian telah lama berlalu iaitu 11 tahun yang lepas, tapi saya masih terasa ‘kesakitan, kepedihan’ merindui anak saya.
“Tidak adil jika pembunuh anak saya terlepas daripada hukuman gantung sampai mati. Kerajaan seharusnya mengekalkan hukuman mati ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama Jawatankusa Pilihan Khas berkaitan Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.
Mesyuarat itu diadakan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.
Difahamkan, mesyuarat itu diadakan bertujuan untuk mendengar isi hati keluarga mangsa sekiranya hukuman mati mandatori dibatalkan.
Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian terhadap Hukuman Mati Mandatori diwujudkan pada Ogos tahun lepas bertujuan untuk mengkaji secara keseluruhan dasar penghukuman bagi menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara Mahkamah.
Hadir sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (Ummah), dan dua orang peguambela, Adnan Seman serta Christina Teng.
Baca: Tolak cadangan mansuh hukuman mati mandatori
Difahamkan, Rambo Bentong kini sedang menjalani hukuman penjara dan menunggu masa untuk digantung.
Berdasarkan keratan akhbar Sinar Harian 14 Disember 2012, Rambo Bentong didakwa terlibat dengan tujuh kes rogol dan membunuh mangsa bawah umur dari 2009 hingga 2011.
Rambo Bentong membunuh dan merogol mendiang Annie Kok Yin Cheng pada 7 Mac 2009 antara jam 11.30 malam hingga 1.50 petang 8 Mac 2009 di sebuah rumah di Lot 4168, Kampung Ketari, Bentong, Pahang.
Sementara itu, dalam mesyuarat bersama Jawatankuasa Pilihan Khas itu , Ummah mewakili bekas anggota Bomba, Allahyarham Mohamad Adib Kassim dan kematian dua beradik iaitu Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya, Muhammad Hafiz Idris, 1, akibat dikelar di leher di Yan, Kedah.
Tan Siew Ling mewakili mendiang anaknya, Annie Kok Yin Cheng yang dibunuh dan dirogol oleh Rabidin [email protected] Bentong pada 7 Mac 2009 ketika berumur 17 tahun.
Manakala, Wong Hie Huong mewakili mendiang Stephen Wong Jing Kui, Pengurus Cawangan sebuah bank asing di Sibu Sarawak yang dipercayai dibunuh dalam satu cubaan merompak di rumahnya, sekitar Jun 2012.
Seorang lagi NGO dari Social Care iaitu Alan Ong Yeow Fooi mewakili bekas jutawan kosmetik, Allahyarhamah Datuk Sosilawati Lawiya dan mendiang Datuk Kevin Morais.