Bekas Timbalan Menteri Undang-undang merayu kerajaan agar tidak menganiaya peniaga yang terlanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) sehingga dikenakan kompaun RM50,000.
Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin itu berkata, undang-undang dan keadilan perlu dilaksanakan dengan penuh belas kasihan dan budibicara.
“Law or justice must be tempered with mercy guys (Undang-undang dan keadilan mesti disertai dengan belas kasihan tuan puan).
“Saya rayu sungguh-sungguh ni kat pihak tertentu. Jangan aniaya mereka,” kata Hanipa ketika mengulas tindakan kerajaan mengenakan kompuan sehingga RM50,000 kerana melanggar SOP.
Sehingga kini, tiga peniaga di Kelantan telah dikenakan kompaun RM50,000 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan.
“Kat mana mereka cari duit sebanyak itu. Takkan tak ada hati perut. Mereka sangat susah untuk mencari rezeki,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.
Belum pun reda kisah peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa malam kelmarin, seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu turut dikenakan kompaun membabitkan jumlah yang sama.
Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya mengakui terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis jam 11.20 malam kelmarin.
Katanya, tanpa bertanyakan maklumat lanjut terhadap dia dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi lebih masa.
“Saya terkejut dan terkedu melihat jumlah kompaun yang dikenakan, sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun susah kerana berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.
“Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai jam 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama.
“Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Berita Harian.
Sebelum itu, Wan Mohd Faisal Wan Kadir dikenakan kompaun RM50,000 kerana memasak burger di perkarangan rumah mertuanya pada jam 11.15 malam di Kota Bharu.
Padahal ketika itu tidak ada pelanggan pun yang berada di hadapan gerai burger di depan rumah mertuannya itu kerana beliau membuatnya berdasarkan tempahan.