Malaysia Dateline

Saya sedia ajar Takiri tanam buluh, kata Teresa Kok

“Sekiranya YB Ust Dr Khairuddin Takiri ingin mendapat pandangan dan cadangan saya tentang perlaksanaan penanaman buluh ataupun isu-isu lain di bawah kementeriannya, saya akan sudi membantu.”

Demikian kata Teresa Kok, bekas Menteri Industri Utama ketika mengulas kenyataan Datuk Dr Khairuddin Takiri, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang menyebut kementeriannya akan menjadikan industri buluh sebagai ‘game changer’.

Menurut Teresa, beliau gembira Khairuddin meneruskan dasar dan halatuju penanaman buluh yang ditetapkan oleh beliau dan Lembaga Industri Kayu-Kayan (MTIB) pada tahun lepas.

“Saya percaya Menteri baru ini sedar kenyataannya yang membidas cadangan saya pada tahun lepas (3 Mac 2019) adalah kurang cerdik kerana beliau tidak dapat gambaran yang jelas berkenaan cadangan penanaman buluh secara besar-besaran.

“Selain itu, beliau mungkin tidak tahu laporan bertajuk “Lupakan Sawit, Tanam Buluh” yang disiarkan di Utusan Malaysia waktu itu sebenarnya diputar-belitkan oleh pihak akhbar pada waktu itu,” katanya.

Dalam mesyuarat Kabinet semalam, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah memaklumkan status pembangunan industri buluh negara dan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi.

Dalam satu kenyataan medianya, Khairuddin memaklumkan, sais pasaran global produk buluh dianggarkan berjumlah USD68 bilion pada tahun 2018.

Namun eksport negara hanya RM9 juta pada tahun 2019, kata beliau dalam kenyataan media bertulis yang dikeluarkan kementeriannya semalam sebaik sahaja selepas mesyuarat mingguan Kabinet.

“Oleh itu, industri buluh mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan dan dimajukan di negara ini,” kata AJK Pas Pusat itu.