Malaysia Dateline

Tan Sri Dr Rais Yatim

Saya sedia jika diberi peluang jadi Speaker, kata Rais Yatim

Bekas penasihat sosiobudaya kerajaan, Tan Sri Rais Yatim sedia menggalas tanggungjawab sebagai speaker Dewan Rakyat sekiranya diberikan peluang.

Bagaimanapun Rais berkata sehingga kini beliau belum menerima sebarang surat daripada pihak kerajaan berhubung perkara itu.

“Setakat ini saya terbuka terima apa-apa kemungkinan. Malah kalau itu jadi, ia merupakan khidmat negara, kerana jadi speaker saat sekarang bukan sesuatu yang mudah.

“Lantaran orangnya (ahli parlimen) lantang-lantang belaka dan mereka mempunyai ilmu tinggi-tinggi belaka dan bahasanya tajam-tajam belaka,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, semalam.

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi bahawa dirinya akan dilantik menjadi speaker manakala timbalannya pula akan dipegang oleh Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Hannah bagaimanapun, baru-baru ini telah dinamakan sebagai timbalan menteri, wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat

Sidang Dewan Rakyat ke-14 bagi mesyuarat pertama, penggal pertama, dijadual bermula pada Isnin 16 Julai 2018.

Rais pernah dilantik berkhidmat sebagai menteri di bawah kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum memilih untuk bersama kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu merebut jawatan presiden Umno.

Jawatan terakhir Rais sebelum ini ialah penasihat sosiobudaya kepada kerajaan sebelum beliau lantang mengkritik dasar Datuk Seri Najib Razak.

Beliau pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan dari 1978-1982 dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) awal bulan lalu.