Malaysia Dateline

Saya sedia untuk jawatan yang lebih bawah, kata Mohamad Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, bersedia memegang jawatan yang lebih rendah sekiranya itu permintaan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Namun katanya, keputusan 27 Jawatankuasa pimpinan sebulat suara mahu mengekalkannya biarpun beliau menduduki tempat ke tujuh dalam pemilihan yang berlangsung semalam.

“Saya bersedia untuk jawatan yang lebih bawah. Tetapi, mereka (Jawatankuasa pimpinan) mahu mengekalkan (saya),” katanya kepada pemberita dalam Konvensyen Nasional 2019,Parti Amanah Negara (AMANAH), di Pusat Konvensyen (IDCC), hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan itu, antara 27 calon yang terpilih dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) yang menduduki tempat ketujuh dengan pungutan undi sebanyak 681 sokongan.

Manakala JKP Amanah Nasional, Khalid Samad menduduki tangga teratas dengan perolehan undi tertinggi sebanyak 786, sekaligus memberi bayangan Menteri Wilayah Persekutuan itu bakal menerajui pimpinan Amanah bagi penggal kedua kali ini.

Sementara itu, Khalid menjelaskan bahawa undi kepada Mohamad melebihi 70 peratus yang merupakan satu jumlah agak popular dalam kalangan perwakilan yang hadir.

Katanya, ia merupakan pemilihan Jawatankuasa dan bukannya pemilihan Presiden di mana keputusan akhir sememangnya akan berbeza kerana ia melibatkan mesyuarat bersama menentukan ketua dalam pimpinan.

“Ini bukan pemilihan Presiden, ianya pemilihan untuk Jawatankuasa Pimpinan. Itu sistem kita. Jadi kalau ini melibatkan pemilihan Presiden, mungkin keputusan dia akan berbeza,” katanya.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar turut bersetuju bahawa pelantikan dibuat atas keputusan bersama.

“Kami mahu mengekalkan beliau, kami semua bersetuju mengekalkan beliau sebagai Presiden kerana dia merupakan orang yang berpengalaman yang telah banyak memberikan pengorbanan dan berjaya memimpin parti AMANAH selama ini,” ujarnya.