“Saya sedih kejadian yang berlaku terhadap anak, berulang kepada penuntut lain” – Bapa Allahyarham Zulfarhan

Oleh MALAYSIADATELINE

Bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman iaitu Zulkarnain Idros meluahkan rasa kesal ekoran kejadian yang pernah menimpa anaknya ketika menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berulang kepada penuntut lain.

Zulkarnain juga terkejut apabila mendapat tahu bahawa kejadian buli masih berlaku di institusi ketenteraan berkenaan selepas pelaku yang sebelum ini mendera anaknya sehingga maut dibawa ke muka pengadilan.

Menurut Zulkarnain, kejadian menimpa pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan UPNM (ALK-UPNM) yang cedera ditekap seterika itu diketahuinya kelmarin selepas membaca laporan media dihantar isteri menerusi aplikasi WhatsApp, lapor Harian Metro.

“Saya sedih kejadian yang pernah berlaku terhadap anak, berulang kepada penuntut lain. Saya terkejut kerana masih ada kes buli berlaku kepada penuntut UPNM. Saya sangka kes arwah anak yang terakhir tetapi ia masih berulang.

“Dakwaan mangsa ditekap seterika. Tidak kiralah seterika biasa atau seterika wap, ia sesuatu yang tidak boleh diterima kerana bukan saja menyakitkan dan menyeksakan tapi ia meninggalkan kesan buat mangsa.

“Seperti berlaku kepada arwah anak yang mempunyai 90 kesan tekapan seterika wap panas, sehingga sekarang saya tak mampu untuk lupakan dialami arwah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Berkongsi pandangannya, Zulkarnain berkata laporan siasatan berhubung kejadian tersebut wajar didedahkan kepada pengetahuan umum supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.

Bapa berusia 60 tahun itu juga turut berpendapat pihak universiti seharusnya memandang serius kejadian yang berlaku buat kali kedua ini walaupun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.

Jelas Zulkarnan, sudah tiba masanya akta antibuli yang khusus melibatkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi diperkasakan bagi mendepani peningkatan kes buli membabitkan fizikal, mental serta seksual.

“Sehingga kini, tiada undang-undang khusus terpakai bagi kes buli di sekolah dan institut pengajian tinggi. Peningkatan kes buli kebelakangan ini adalah petanda kecemasan yang memerlukan tindakan segera pihak berwajib,” katanya.

Terdahulu, seorang pegawai kadet tahun dua di akademi ketenteraan yang terletak di Sungai Besi itu dilaporkan menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior hingga mengalami kecederaan dipercayai akibat ditekap seterika.

Perbuatan tersebut bagaimanapun terbongkar selepas jurulatih bertugas ketika itu menjalankan pemeriksaan berkala susulan menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa yang mengambil jurusan kejuruteraan di akademi berkenaan.

Susulan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan yang tular di media alternatif dan media sosial mengenai insiden tersebut serta menegaskan siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci.

Pihaknya juga tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak terlibat dengan kes tersebut malah tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan jika terbukti bersalah.

Negara sebelum ini digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017 akibat dibuli, dipukul dan diseksa ekoran hampir keseluruhan anggota badannya ditekap berulang kali dengan seterika wap.

Enam bekas penuntut UPNM kemudian dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu kerana didapati bersalah membunuh Zulfarhan.

Baca juga: Hilang sabar layan Gen Z sekarang, gaji bersih RM1.7k tapi nak pakai Honda RM163k