‘Saya selalu bermulut celupar, saya rela nak minta maaf’

‘Saya selalu bermulut celupar, saya rela nak minta maaf’

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini membuat permohanan maaf terbuka kepada pelajar UiTM dan rakyat negara ini terhadap kenyataan ‘slow learner’ yang diucapkannya pada majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian dihadapan wakil Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara Malaysia (Pauitm) yang hadir di ibu pejabat Umno di Bangunan Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

“Saya rela nak minta maaf lah kerana menguris hati sesiapa, terhadap apa yang saya lakukan.

“Saya hanya lakukan satu ucapan motivasi untuk pelajar seperti yang biasa saya lakukan selalu, bertujuan memberikan kesedaran.

“Saya tidak tahu ada pihak tertentu ambil kesempatan melagakan saya dengan pihak Uitm dan juga pelajar lain.

“Saya nak maklumkan kita dapat manfaat dari UiTM satu institusi dibangunkan kerajaan untuk bantu orang Melayu.

“Saya harap sudah-sudahlah tak payah nak bising-bising lagi, saya sedar barangkali saya ni selalu bermulut celupar…mulut celupar ni lain kali kena berhati-hati,” ujarnya dalam sidang media diadakan.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) dan Datuk Zaini Hassan (empat dari kiri) dalam sidang media yang diadakan bersama Pauitm hari ini selepas perbincangan dua pihak.

Sidang media ini diadakan selepas satu pertemuan tertutup diadakan antara kedua pihak  hampir sejam  susulan daripada kenyataan beliau yang dianggap ‘menghina’ penuntut UiTM apabila melabelkan penuntut UiTM sebagai ‘slow learner’.

Ditanya kenyataan beliau itu memberi isyarat kepada rakyat bahawa ia antara dasar kerajaan dalam pendidikan kebangsaan meletakkan pelajar ‘slow learner’ di sebuah intitusi atau kolej yang hanya diangkat ke tahap universiti di negara ini.

“Saya tidak boleh jawab kerana bukan menteri pendidikan.”

Sebaliknya kata Tengku Adnan atau lebih dikenali Ku Nan menerangkan, berkemungkinan percakapannya yang menyebut ‘slow learner’ telah disalah faham.

“Barang kali percakapan ‘slow learner’ itu salah erti, kadangkala orang tidak faham, jika benda itu silap saya minta maaf,” ujarnya sekali lagi.

Manakala Presiden Pauitm Datuk Mohd Zaini Hassan menerangkan persatuan itu berpuashati dengan penerangan yang diberikan oleh Ku Nan yang juga Setiausaha Agung Umno itu.

“Kami dari Persatuan Alumni UiTM berbesar hati kerana dapat berjumpa dengan Datuk Seri Tengku Adnan dan kami bercakap dari hati ke hati.

“Beliau sebagai setiausaha agung sebuah parti terbesar di Malaysia sanggup menyatakan permohonan maaf kepada kami walaupun niatnya berbeza,” ujarnya.

Mohd Zaini berkata hari ini Pauitm memayungi seramai 700,000 ahlinya mahu isu ini dihentikan daripada menjadi polimik pihak-pihak tertentu.

“Bagi kami ini satu putar belit pihak tertentu diluar konteks ucapan yang begitu baik sebagai motivasi kepada pelajar tetapi diambil dalam konteks yang berbeza. Apabila apa yang disampaikan disalah fahamkan.

“Saya rasa keadaan akan reda seperti sediakala dan saya juga minta pihak diluar sana yang tidak ada kaitan dengan kami akan menggunakan kesempatan ini untuk meraih ‘political mileage’ mereka.

“Biar kami sahaja yang mempunyai 700,000 ahli hari ini selesaikan masalah ini,” ujarnya yang menambah kadar keboleh pasaran dikalangan pelajar Uitm antara yang tertinggi di Malaysia.

Semalam kenyataan Tengku Adnan itu juga dikecam Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berpandangan sedemikian sebagai menghina penuntut UiTM.

Baca: ‘Slow learner’: Alumni UiTM adakan pertemuan dengan Ku Nan esok

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS